PRESIDEN Kazakhstan pada Selasa cuba meredakan protes yang jarang berlaku di negara bekas Soviet itu dengan menghantar pegawai ke wilayah barat di mana penunjuk perasaan turun ke jalan menentang kenaikan harga tenaga.
Protes meletus pada hujung minggu di Zhanaozen di wilayah Mangystau barat yang kaya dengan minyak, dan sejak itu merebak ke hab wilayah Aktau di pantai Laut Caspian negara itu.
Penunjuk perasaan marah dengan kenaikan harga gas asli cecair (LNG).
Presiden Kassym-Jomart Tokayev melalui Twitter berkata sebuah suruhanjaya kerajaan, termasuk anggota pentadbirannya, telah “mula bekerja” di Aktau.
“Suruhanjaya itu diarahkan untuk mencari penyelesaian yang boleh diterima secara bersama untuk masalah yang timbul demi kestabilan negara kita,” kata Tokayev.
“Agensi penguatkuasaan undang-undang telah diarahkan untuk memastikan ketenteraman awam tidak dilanggar. Penunjuk perasaan perlu tunjuk tanggungjawab dan kesanggupan untuk berdialog,” tambahnya.
Video di media sosial menunjukkan polis mengepung penunjuk perasaan di Aktau pada Isnin.
Zhanaozen merupakan tempat pergolakan paling dahsyat di negara itu sejak ia mencapai kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet pada 1991, apabila sekurang-kurangnya 14 pekerja minyak yang mogok terbunuh pada 2011 ketika polis menumpaskan bantahan berhubung gaji dan syarat bekerja.
Pertembungan itu mencetuskan serangan undang-undang ke atas pembangkang.
Tokayev memegang jawatan pada 2019, dipilih sendiri sebagai pengganti oleh pemimpin pengasas negara Asia Tengah itu, Nursultan Nazarbayev.
Tetapi Nazarbayev, yang berusia 81 tahun dan pernah memerintah Kazakhstan sejak 1989, mengekalkan kawalan ke atas negara itu sebagai pengerusi majlis keselamatan dan “Pemimpin Negara” – gelaran yang memberikannya keistimewaan unik dalam membuat dasar serta kekebalan daripada pendakwaan. – AFP, 4 Januari, 2022.
Komen