SEKURANG-KURANGNYA 23 maut dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak di wilayah sempadan Colombia dengan Venezuela, semalam.
Timbalan Menteri Pertahanan Jairo Garcia berkata pihaknya menemui 23 mayat di luar bandar timur laut Arauca, tanpa menjelaskan sama ada ia mayat anggota pemberontak atau orang awam.
Pihak berkuasa tempatan melaporkan beberapa komuniti terperangkap dalam pertempuran itu manakala Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia Amerika, Jose Miguel Vivanco, di Twitter berkata keadaan di sempadan “sangat serius”.
Sementara itu, Presiden Ivan Duque berkata orang awam dipercayai turut terkorban dalam pertempuran membabitkan anggota kumpulan gerila dikenali sebagai Tentera Pembebasan Kebangsaan (ELN) dan Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC).
Duque turut menyalahkan rakan sejawatannya di Venezuela, Nicolas Maduro dengan mendakwa negara itu melindungi pemberontak Colombia di sempadan Venezuela sepanjang 2,200 kilometer.
Beliau berkata pejuang ELN dan penentang FARC yang menolak pakatan damai 2016, bermaharajalela di wilayah Venezuela dengan “kebenaran dan perlindungan rejim dictator”.
Pegawai penyiasat aduan awam Colombia Carlos Camargo berkata puluhan keluarga terpaksa melarikan diri daripada pertempuran di kawasan bandar Tame dan Saravena di Arauca.
Colombia kerap menuduh jirannya melindungi pejuang pemberontak selepas negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Venezuela.
Krisis diplomatik dua negara memuncak apabila Duque mengambil alih jawatan Presiden daripada Juan Manuel Santos pada Ogos 2018, selepas dua tahun perjanjian damai berakhir.
Keganasan sentiasa tercetus di Colombia walaupun perjanjian itu menyaksikan kira-kira 13,000 gerila FARC meletakkan senjata dan pergerakan itu berubah menjadi parti politik kecil.
Bagaimanapun, pemberontak terus memerangi kumpulan separa tentera, bagi mengawal penyeludupan dadah dan menguasai pasaran perlombongan haram di negara pengeluar kokain terbesar di dunia itu.
Dianggarkan terdapat kira-kira 2,500 pejuang ELN aktif ketika ini dan lebih 5,000 ahli kumpulan FARC beroperasi dengan majoriti daripada mereka adalah rekrut baharu. – AFP, 4 Januari, 2022.
Komen