45 penumpang kapal persiaran positif Covid-19 turun di Itali


Sekumpulan penumpang kapal persiaran MSC Grandiosa diturunkan di pelabuhan Genoa di Itali semalam selepas dijangkiti Covid-19. – Gambar EPA, 4 Januari, 2022.

KIRA-KIRA 45 penumpang kapal persiaran MSC Grandiosa diturunkan di pelabuhan Genoa di Itali semalam selepas dijangkiti Covid-19.

Pengendali kapal terbabit, MSC Cruises bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar individu dijangkiti wabak itu namun sejumlah besar penumpang masih berada di atas kapal berkenaan.

MSC turut menafikan laporan media yang mendakwa antara 120 hingga 150 orang dijangkiti Covid-19 di atas kapal yang tiba di Genoa dari pelabuhan di Marseille, Perancis.

“Hari ini (semalam) kami menurunkan 45 penumpang yang positif Covid-19 di Genoa,” kata syarikat terbabit dalam kenyataan.

Jurucakap syarikat itu berkata bilangan penumpang lain yang diuji positif masih berada di dalam kapal dan akan diturunkan tidak lama lagi.

Kebanyakan penumpang dilaporkan tidak bergejala dan mereka serta kontak rapat diasingkan serta-merta di dalam kabin dan balkoni serta diberikan rawatan perubatan.

Sementara itu, pihak berkuasa pelabuhan di Genoa mengesahkan sejumlah penumpang diturunkan dari kapal persiaran terbabit dengan warga Itali dari utara negara itu dihantar pulang ke rumah mereka manakala warga asing dihantar ke kemudahan penjagaan sementara untuk kuarantin.

Kapal persiaran itu akan meneruskan perjalanan ke pelabuhan Civitavecchia, Itali di mana pesakit positif yang tinggal di tengah atau selatan negara itu akan diturunkan serta dihantar pulang untuk kuarantin.

Semua kos pemindahan dan penginapan di pusat rawatan Covid dibayar MSC Cruises, kata pihak berkuasa. – AFP, 4 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen