Sekolah dibuka semula di Belanda walaupun kes Covid-19 melonjak


Pada 18 Disember, sekolah di Belanda ditutup selama tiga minggu susulan jangkitan Covid-19 varian Omicron meningkat. – Gambar EPA, 4 Januari, 2022.

SEKOLAH di Belanda akan dibuka semula minggu depan mengikut jadual selepas cuti Krismas lebih panjang berbanding kebiasaan, kata kerajaan, walaupun jangkitan Covid-19 varian Omicron sedang meningkat.

Pada 18 Disember, Belanda melaksanakan beberapa sekatan lebih ketat di Eropah bagi mengekang penularan pantas Omicron, dengan menutup sekolah selama tiga minggu dan menutup semua kedai tidak penting, pusat kebudayaan dan hiburan hingga 14 Januari.

Sekolah rendah dan menengah akan dibuka pada 10 Januari, sementara institusi pengajian tinggi akan berlangsung secara pembelajaran atas talian berikutan lonjakan jangkitan dalam kalangan kumpulan umur itu, kata kementerian pendidikan.

Remaja 17 tahun ke bawah akan dibenarkan bersukan di luar hingga 8 malam mulai minggu depan, selepas keadaan semasa dinilai semula.

Kira-kira 14,623 pesakit dikesan pada Isnin, berbanding 11,440 minggu sebelumnya dengan kadar jangkitan meningkat bagi enam hari berturut-turut. – AFP, 4 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen