Pemberontak Yaman rampas kapal di Laut Merah


Pihak Huthi mengesahkan mereka telah merampas sebuah kapal berbendera Emiriah Arab Bersatu di Laut Merah namun jurucakap tentera mereka Yahya Saree berkata ia telah "memasuki perairan Yaman tanpa kebenaran" dan sedang melakukan "tindakan bermusuhan". – Gambar AFP, 3 Januari, 2022.

PEMBERONTAK Yaman telah merampas sebuah kapal berbendera Emiriah Arab Bersatu di Laut Merah, kata pemberontak dan pakatan diketuai Arab Saudi pada Isnin yang memberikan penjelasan berbeza.

Gabungan diketuai Arab Saudi berkata kapal tersebut membawa bekalan perubatan tetapi pemberontak berkata mereka merampas “kapal kargo tentera dengan peralatan ketenteraan”.

Gabungan itu telah berjuang selama hampir tujuh tahun menyokong kerajaan Yaman menentang Huthi yang disokong Iran, dan pertempuran semakin sengit sejak beberapa minggu lalu.

“Bot bernama Rawabi, yang membawa bendera Emiriah Arab Bersatu, telah diserang dan diculik pada pukul 23.57 waktu tempatanpada Ahad ketika di luar wilayah Hodeida,” kata jurucakap pakatan Turki al-Malki.

Dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Agensi Akhbar rasmi Saudi, beliau berkata kapal itu dalam perjalanan dari pulau Socotra Yaman, di luar pantai selatan negara itu.

Ia kembali ke bandar Jazan di Arab Saudi dengan membawa bekalan perubatan selepas menyelesaikan misi untuk membina hospital lapangan di pulau itu, kata Malki.

Pihak Huthi mengesahkan mereka telah merampas sebuah kapal berbendera Emiriah Arab Bersatu di Laut Merah namun jurucakap tentera mereka Yahya Saree berkata ia telah “memasuki perairan Yaman tanpa kebenaran” dan sedang melakukan “tindakan bermusuhan”. – AFP, 3 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen