Khalid Samad mohon nama Agong dibersihkan daripada isu balak


Ahli Parlimen Amanah Shah Alam Khalid Samad hari ini memohon Yang di-Pertuan Agong (gambar) membersihkan nama Baginda dengan mengambil tindakan terhadap individu yang menyebarkan khabar angin mengenai Istana berhubung isu pembalakan di Pahang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2022.

AHLI Parlimen Shah Alam Khalid Samad meminta Yang di-Pertuan Agong bertindak terhadap individu yang sebarkan khabar angin tentang istana untuk kepentingan peribadi.

Dalam satu kenyataan, ahli Parlimen Amanah itu berkata jika isu ini tidak ditangani, ia mungkin meruntuhkan institusi diraja yang merupakan salah satu tonggak utama negara.

“Ekoran dari banjir yang melanda negara, khasnya di Pahang, banyak khabar angin tersebar yang melibatkan nama baik Yang di-Pertuan Agong dan kerabat diRaja Pahang berhubung dengan pembalakan di negeri itu.

“Saya yakin, Tuanku Yang Dipertuan Agong tidak ada kaitan dengan perkara ini dan sebaliknya, nama Baginda serta Istana Pahang telah dipergunakan untuk kerja-kerja durjana ini!

“Nama baik Baginda dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan berkepentingan yang menggondolkan bukit bukau negeri Pahang secara rakus dan tanpa berperikemanusiaan.

“Sehubungan dengan itu, patik dengan suci hati memohon agar Tuanku membersihkan nama baik Tuanku dengan membuat penjelasan serta menjauhkan diri Tuanku dari pihak yang menggunakan nama Tuanku untuk kepentingan diri mereka sendiri. 

“Patik memohon agar Tuanku akan turut mengarahkan agar tindakan dikenakan ke atas mereka yang membalak atas nama Tuanku kononnya dan segala kegiatan pembalakan yang memusnahkan alam sekitar dihentikan segera,” katanya.

Khalid antara yang terbaharu membangkitkan perkara tersebut selepas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut mengecam individu tertentu yang menyebarkan khabar angin mengenai Agong.

Sebuah video tular menunjukkan seorang “usahawan” mendakwa beliau akan mengadu kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai bantahan seorang Puan Seri terhadap kegiatan pembalakan yang dilakukannya di Pahang.

Lelaki itu mendakwa dia mendapat perlindungan daripada pihak istana termasuk daripada beberapa Tan Sri dan Datuk Seri. – 3 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen