Reaktor nuklear 'Hualong-1' ke-2 China mula beroperasi


Kanak-kanak melihat model reaktor 'Hualong-1' generasi ketiga buatan sendiri China yang dipamerkan pada 2017. – Gambar EPA, 3 Januari, 2022.

UNIT generator kuasa nuklear nombor enam Loji Janakuasa Nuklear Fuqing memulakan operasinya pada Sabtu, sekali gus menjadi reaktor “Hualong-1” ketiga di seluruh dunia dan yang kedua di China.

Menurut Syarikat Nuklear Kebangsaan China (CNNC), pengoperasian reaktor nuklear berjalan lancar dan dilihat sebagai asas kukuh terhadap operasi secara komersial kelak.

Sebagai mercu tanda kuasa nuklear China di persada antarabangsa, “Hualong-1” terkenal sebagai generasi ketiga dalam pasaran kuasa nuklear.

Reaktor pertama di dunia, iaitu unit generator nombor lima di Fuqing, China dan reaktor pertama di seberang laut, iaitu unit generator nombor dua di Karachi, Pakistan telah memulakan operasinya pada 2021.

Setiap unit “Hualong-1” dengan kapasiti 1.161 juta kilowatt mampu menjana hampir 10 bilion kilowatt-jam kuasa elektrik, atau bersamaan dengan penjimatan 3.12 juta tan penggunaan arang standard.

Ia juga bertindak mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 8.16 juta tan, atau bersamaan dengan penanaman 70 juta batang pokok. – Bernama, 3 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen