Xi'an catat penurunan kes baharu Covid-19


Xi’an dengan 13 juta penduduknya diarah berkurung di rumah, dan ujian saringan besar-besaran dijalankan sepanjang beberapa minggu lalu susulan lonjakan penularan Covid-19. – Gambar EPA, 3 Januari, 2022.

JUMLAH kes baharu Covid-19 di Xi’an yang dikenakan perintah berkurung, menurun kepada dua digit hari ini, menurut data rasmi sementara  pihak berkuasa tempatan memecat dua pegawai kanan bagi “mengukuhkan” usaha memerangi virus itu.

China melaksanakan pendekatan sifar Covid-19 dengan menguatkuasakan sekatan sempadan yang ketat dan perintah berkurung secara bersasar sejak virus itu tercetus. Tetapi strategi itu berdepan tekanan berikutan penularan tempatan, baru-baru ini.

Xi’an menjadi pusat terbaru penularan Covid-19, menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan semua 13 juta penduduknya berkurung di rumah, dan ujian saringan besar-besaran dijalankan sepanjang beberapa minggu lalu.

Bandar itu melaporkan 90 penularan tempatan baharu hari ini menurun berbanding 122 kes pada hari sebelumnya.

Sejak 9 Disember lalu, lebih 1,600 jangkitan direkodkan di Xi’an.

Media tempatan melaporkan, Xi’an semalam mengumumkan dua pegawai kanan Parti Komunis dari Yanta, dipecat daripada jawatan mereka bagi memperkukuh usaha mencegah dan mengawal epidemik di kawasan berkenaan.

Sebelum itu, penduduk tempatan mendakwa bergelut mendapatkan makanan mencukupi sejak kebelakangan ini, walaupun pihak berkuasa China menegaskan mereka berusaha memastikan bekalan terbabit stabil.

Meskipun bilangan kes dilaporkan di China adalah lebih rendah berbanding tempat lain, penularan baharu sejak kebelakangan ini mencatat kadar tinggi sejak Mac 2020.

Peningkatan kes itu berlaku ketika Beijing giat membuat persiapan sebagai tuan rumah temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk pada bulan depan. – AFP, 3 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen