INDONESIA, pengeksport terbesar dunia bagi arang batu yang digunakan dalam penjana elektrik akan menghentikan eksport itu bermula bulan ini sebagai langkah melindungi bekalan domestik.
Peningkatan keperluan elektrik di negara itu menyebabkan risiko lebih tinggi berlakunya gangguan bekalan, kecuali jika lebih banyak bekalan dihantar ke stesen janakuasa, kata Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dalam satu kenyataan.
Kebanyakan arang batu Indonesia dieksport tetapi pengeluar produk itu diwajibkan menyediakan jumlah minimum untuk bekalan loji janakuasa negara.
Keputusan itu dibuat susulan permintaan terhadap elektrik semakin melonjak, susulan pertumbuhan ekonomi pasca pandemik di seluruh negara menyebabkan keperluan bekalan elektrik tidak dapat dipenuhi.
Januari tahun lalu, Indonesia mengeksport hampir 30 juta tan arang batu, menurut Biro Statistik Pusat.
Larangan eksport yang dikuatkuasakan ini susulan kegagalan pelombong memenuhi peraturan pasaran domestic, iaitu mereka wajib membekalkan sekurang-kurangnya 25% hasil lombong dengan harga jualam maksimum AS$70 satu tan metric – kurang daripada separuh harga antarabangsa. – AFP, 3 Januari, 2022.
Komen