POLIS di Zamfara, Nigeria berkata 21 yang diculik kumpulan bersenjata pada Jumaat, dibebaskan.
“Polis berjaya menyelamatkan 21murid sekolah selepas berbalas tembakan dengan penjenayah,” kata jurucakap polis Mohammed Shehu dalam satu kenyataan.
Kawasan tengah dan barat laut Nigeria adalah lokasi geng penjenayah, yang menyerang kampung, membunuh penduduk dan mencuri haiwan ternakan.
Pada malam Tahun Baharu Jumaat lalu, penjenayah terbabit menyekat jalan utama dan menculik mereka yang melalui jalan itu termasuk kanak-kanak sekolah, kata Shehu.
Jumlah individu yang diculik tidak diketahui.
Kira-kira 10 malam, sepasukan polis dan tentera menerima panggilan daripada penduduk di kampung Kucheri, berhampiran jalan utama.
Mereka berkata penjenayah terbabit membuat sekatan jalan raya dan menculik penumpang daripada lima bas, termasuk bas sekolah.
Bas sekolah membawa sekumpulan murid ditemani guru mereka, dalam perjalanan ke seminar di Katsina.
Beberapa penumpang lain termasuk guru dan pemandu bas turut diculik kumpulan bersenjata itu.
Shehu menggesa orang ramai di kawasan itu tidak melakukan perjalanan pada waktu malam.
Sejak beberapa bulan terakhir ini, penjenayah terbabit selamba menculik orang awam di jalan raya dan menyasarkan sekolah untuk menuntut tebusan. – AFP, 3 Januari, 2022.
Komen