PM Sudan letak jawatan


PM Sudan Abdalla Hamdok meletakkan jawatan semalam, selepeas lebih dua bulan rampasan kuasa berlaku dan diikuti dengan kekerasan terhadap penunjuk perasaan. – Gambar EPA, 3 Januari, 2022.

PERDANA Menteri Sudan Abdalla Hamdok meletakkan jawatan semalam, selepeas lebih dua bulan rampasan kuasa berlaku dan diikuti dengan kekerasan terhadap penunjuk perasaan hingga menyebabkan kematian.

Pada masa ini, tentera mengambil alih kawalan negara.

Sudan sejak 2019 selepas penggulingan pemimpin autokrasi Omar al-Bashir, mengalami perjalanan yang rapuh dalam usaha mewujudkan pemerintahan awam.

Keadaan semakin bergolak apabila ketua pasukan tentera Jeneral Abdel Fattah al-Burhan melancarkan rampasan kuasa pada 25 Oktober lalu dan menahan Abdalla.

Abdalla dikembalikan jawatannya pada 21 November di bawah persetujuan perjanjian pilihan raya pada Julai 2023, tetapi media tempatan melaporkan beliau tidak hadir ke pejabat berhari-hari lamanya, dengan khabar angin berkenaan peletakan jawatannya.

“Saya sudah cuba sebaik mungkin untuk menghentikan negara ini daripada kemusnahan,” katanya petang semalam, menyampaikan berita itu menerusi siaran di televisyen.

Sudan melepasi satu titik perubahan yang bahaya dan mengancam keseluruhan kelangsungannya, kata Abdalla.

Abdalla adalah wajah pemimpin sivil dalam peralihan pemerintahan negara itu yang rapuh, sementara Burhan ialah pemimpin de facto.

Tunjuk perasaan besar-besaran anti rampasan kuasa berterusan walaupun selepas Abdalla dikembalikan sebagai perdana menteri.

Penunjuk perasaan tidak percayakan Burhan dan janjinya untuk memimpin negara ke arah demokrasi penuh. – AFP, 3 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen