Messi disahkan positif Covid-19


Penyerang Paris Saint-Germain Lionel Messi disahkan positif ketika bercuti di kampung halamannya di Rosario di Argentina. – Gambar EPA, 2 Januari, 2022.

LIONEL Messi disahkan positif Covid-19 dan sedang menjalani pengasingan kendiri, demikian menurut pengumuman yang dikeluarkan kelabnya, Paris Saint-Germain.

Pemenang Anugerah Ballon d’Or tujuh kali itu adalah salah seorang daripada empat pemain PSG yang disahkan positif virus tersebut menjelang perlawanan Piala Perancis menentang Vannes.

Messi disahkan positif ketika bercuti di kampung halamannya di Rosario di Argentina.

“Beliau sentiasa berhubung dengan perkhidmatan perubatan kami. Apabila beliau negatif, beliau akan dapat kembali ke Perancis,” kata jurulatih PSG, Mauricio Pochettino pada sidang akhbar.

Bintang bola sepak Argentina itu mengharungi permulaan sukar di ibu negara Perancis itu sejak meninggalkan Barcelona pada musim panas lalu.

Messi hanya menjaringkan satu gol dalam 11 penampilan liga untuk PSG, walaupun beliau telah menjaringkan lima gol dalam saingan Liga Juara-juara.

Messi akan terlepas perlawanan Isnin ini dan Pochettino berkata beliau tidak tahu sama ada penyerang itu juga akan diketepikan untuk perlawanan pertama PSG dalam saingan Ligue 1 sejak cuti musim sejuk, di Lyon Ahad depan.

Selain Messi, pemain yang disahkan positif ialah pertahanan Juan Bernat, penjaga gol Sergio Rico dan pemain tengah Nathan Bitumazala.

“Mereka kini menghormati pengasingan dan tertakluk kepada protokol kesihatan yang sesuai,” menurut PSG.

Pochettino menambah: “Kami telah hidup dengan virus itu selama hampir dua tahun, semua orang tahu apa yang perlu dilakukan agar tidak dijangkiti. Tetapi kami masih boleh dijangkiti, ada perkara yang tidak dapat kami kawal.”

Bernat disahkan positif selepas melaporkan diri untuk sesi latihan.

“Ini adalah risiko yang kita hadapi, pada skala global,” kata Pochettino.

“Dalam bola sepak, hubungan tidak dapat dielakkan, kami berkongsi bilik persalinan.

“Risiko dijangkiti ada, tetapi kami mengambil semua langkah yang perlu untuk cuba menghalang pemain daripada menjangkiti orang lain.”

Jumlah kes Covid di Perancis melebihi 200,000 sehari minggu ini.

PSG juga berkata Neymar yang mengalami kecederaan buku lali pada November, meneruskan rawatan di negara asalnya, Brazil.

“Beliau masih dijadualkan kembali berlatih dalam masa kira-kira tiga minggu,” menurut kelab itu. – AFP, 2 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen