AS bakal tangguh 5G, kaji gangguan terhadap pesawat


Pelancaran teknologi jalur lebar mudah alih berkelajuan tinggi Amerika Syarikat ditangguhkan sekali lagi kepada 5 Januari selepas Airbus dan Boeing bimbang dengan kemungkinan gangguan terhadap peranti ukur ketinggian yang digunakan pesawat. – Gambar EPA, 2 Januari, 2022.

PIHAK berkuasa Amerika Syarikat (AS) telah meminta pengendali telekomunikasi AT&T dan Verizon untuk menangguhkan sehingga dua minggu pelancaran rangkaian 5G yang di tengah-tengah ketidakpastian mengenai gangguan terhadap peralatan keselamatan penerbangan.

Kedua-dua syarikat itu berkata pada Sabtu ia sedang menyemak permintaan itu.

Pelancaran teknologi jalur lebar mudah alih berkelajuan tinggi AS telah ditetapkan pada 5 Disember, tetapi ditangguhkan kepada 5 Januari selepas gergasi aeroangkasa Airbus dan Boeing menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan terhadap peranti yang digunakan pesawat untuk mengukur ketinggian.

Setiausaha Pengangkutan AS Pete Buttigieg dan ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, Steve Dickson, meminta penangguhan terbaharu dalam surat yang dihantar kepada AT&T dan Verizon, dua daripada pengendali telekomunikasi terbesar negara.

Surat itu meminta syarikat-syarikat untuk “menghentikan sementara perkhidmatan C-Band komersial” iaitu julat frekuensi yang digunakan untuk 5G “bagi tempoh singkat tidak lebih daripada dua minggu selepas tarikh penggunaan yang dijadualkan pada 5 Januari.”

Jurucakap Verizon, Rich Young berkata kepada AFP, “Kami telah dapat surat kerajaan selepas jam 6 petang pada Malam Tahun Baru. Kami sedang dalam proses menyemaknya.”

AT&T juga berkata ia sedang menyemak permintaan kerajaan.

Dalam surat itu, pegawai AS memberi jaminan kepada syarikat yang perkhidmatan 5G akan dapat dimulakan “seperti yang dirancang pada bulan Januari dengan pengecualian tertentu di sekitar lapangan terbang.”

Para pegawai berkata keutamaan mereka adalah “melindungi keselamatan penerbangan, dan memastikan penggunaan 5G dan operasi penerbangan boleh wujud bersama.”

Februari lalu, Verizon dan AT&T diberi kuasa untuk mula menggunakan jalur frekuensi 3.7-3.8 GHz pada 5 Disember, selepas memperoleh lesen bernilai puluhan bilion dolar.

Tetapi apabila Airbus dan Boeing membangkitkan kebimbangan mereka tentang kemungkinan gangguan terhadap altimeter radio kapal terbang, yang boleh beroperasi pada frekuensi yang sama, tarikh pelancaran ditolak kembali ke Januari.

FAA meminta maklumat lanjut tentang instrumen itu, dan ia mengeluarkan arahan mengehadkan penggunaan altimeter dalam situasi tertentu, yang mencetuskan kebimbangan syarikat penerbangan terhadap potensi kos.

Apabila Verizon dan AT&T menulis kepada pihak berkuasa persekutuan pada November untuk mengesahkan hasrat mereka untuk mula menggunakan 5G pada Januari, mereka berkata ia akan mengambil langkah berjaga-jaga tambahan sehingga Julai 2022 sementara FAA menyelesaikan siasatannya.

Konflik antara rangkaian 5G dan peralatan pesawat menyebabkan pihak berkuasa Perancis mengesyorkan supaya mematikan telefon mudah alih dengan 5G di dalam kapal terbang pada Februari.

Pihak berkuasa penerbangan awam Perancis berkata gangguan daripada isyarat pada frekuensi berdekatan ke altimeter radio boleh menyebabkan ralat “kritikal” semasa mendarat. – AFP, 2 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen