PERJALANAN udara terus mengalami gangguan teruk di Amerika Syarikat (AS) semalam, dengan cuaca buruk di beberapa bahagian negara itu menambah kesan lonjakan besar dalam jangkitan Covid-19 yang dicetus oleh varian Omicron.
AS menyaksikan 2,604 penerbangan dibatalkan, lebih separuh daripada 4,529 dibatalkan di seluruh dunia, selepas jam 4.30 petang, menurut laman web penjejakan FlightAware.
Selain itu, 3,447 penerbangan domestik ditangguhkan semalam, daripada jumlah keseluruhan 7,602 di seluruh dunia untuk hari itu.
Syarikat penerbangan AS yang paling teruk terjejas ialah Southwest, yang terpaksa membatalkan 13% daripada jadual penerbangannya, menurut laman web itu.
Di AS, lapangan terbang di Chicago paling teruk terjejas kerana cuaca buruk, dengan ribut salji dijangka berlaku di kawasan itu hingga malam tadi.
Industri perjalanan udara global masih bergelora dengan varian Omicron yang mudah menular.
Ramai juruterbang, pramugari dan kakitangan lain tidak hadir bekerja selepas dijangkiti Covid-19, atau dikuarantin selepas menjadi kontak rapat dengan seseorang yang dijangkiti.
Kira-kira 7,500 penerbangan dibatalkan oleh syarikat penerbangan di seluruh dunia pada hujung minggu sambutan Krismas. – AFP, 2 Januari, 2022.
Komen