Beri masa sebulan sebelum tangguh umrah, rayu persatuan agensi kepada KKM


Mohd Farhan Darwis

Persatuan agensi pelancongan meminta KKM menangguhkan sekatan umrah selama sebulan. – Gambar AFP, 1 Januari, 2022.

PERSATUAN agensi pelancongan berkaitan umrah dan haji di negara ini tidak bersetuju dengan langkah kerajaan menangguhkan sementara perjalanan umrah bermula 8 Januari ini kerana ia akan memberikan kerugian besar kepada jemaah.

Mereka sebaliknya mencadangkan kepada pihak kerajaan, terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar menarik balik penundaan perjalanan umrah itu dengan memberikan waktu notis minimum satu bulan.

“Ia bagi agensi pelancongan yang terlibat melakukan proses yang sepatutnya agar jemaah tidak menanggung kerugian yang besar,” kata mereka.

Penangguhan secara mengejut ini kata mereka akan melibatkan kos pembatalan yang besar kerana agensi telah membuat pembayaran kepada pihak pembekal seperti kos penerbangan dan penginapan.

Tindakan drastik itu juga kata mereka bakal menyebabkan rakyat Malaysia yang sudah membuat tempahan untuk mengerjakan umrah bagi penggal pertama tahun 2022 mengalami kerugian sekitar RM210 juta.

Tambahnya, kebanyakan kos pakej umrah ditanggung oleh jemaah.

“Kalau diambil kira pada harga lantai umrah yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (Motac) adalah RM6,900 seorang dan 80% daripada kos tersebut akan ditanggung jemaah umrah,” kata agensi terbabit, dalam sidang media di Ampang, hari ini.

Agensi tersebut diwakili Setiausaha Agung Kehormat Agensi Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) Ab Rahman Mohd Ali, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh) Razali Mohd Sham, dan Naib Presiden Umrah dan Haji Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Mohd Azri Abd Razak.

Aktiviti umrah yang baharu disambung semula berdepan masalah susulan peningkatan kes Covid-19 melibatkan jemaah yang pulang dari Arab Saudi. – Gambar AFP, 1 Januari, 2022.

Dalam sidang media itu, agensi pelancongan itu juga meminta proses saringan dan SOP diperketatkan terutamanya sewaktu keluar dari KLIA, pelepasan dari Arab Saudi, dan sewaktu ketibaan dan kembalinya jemaah di KLIA.

Selain itu, mereka juga mencadangkan KKM menambah pusat ujian PCR di KLIA selain menambah bilangan kakitangan mereka yang bertugas.

“Ia agar proses saringan dapat dipercepatkan dan mengelak jemaah berkumpul beramai-ramai di dalam satu kawasan demi mengurangkan kadar kebarangkalian jangkitan Covid-19,” kata mereka.

Selain itu, mereka juga memohon sebarang tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan yang melibatkan kos kepada jemaah dan rakyat Malaysia ditanggung oleh pihak kerajaan.

Pengumuman penundaan itu juga kata mereka memberikan kesan kepada agensi pelancongan di Malaysia kerana berisiko berdepan tuntutan tribunal ataupun mahkamah sivil bagi jemaah yang membuat tuntutan bagi bayaran mereka.

“Kes-kes tuntutan bayaran balik ini bagi tahun 2020 bermula 18 Mac lalu masih belum selesai dan ditambah dengan tuntutan yang baharu.

“Kita menyeru pihak-pihak perundangan yang terlibat agar menangguhkan kebenaran tuntutan ini seperti yang dilakukan sebelum ini,” kata mereka.

Kemunculan varian Omicron merencatkan banyak pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial seluruh dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2022.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam respons awal terhadap keputusan penangguhan itu berkata, kerajaan akan mencari jalan untuk membantu bakal jemaah yang terkesan susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan umrah.

Ia termasuk sama ada jemaah diberi pembayaran balik atau dijadualkan semula perjalanan mereka.

Kerajaan hari ini menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari bagi membendung penularan Omicron.

Ia susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin di tempat kediaman.

Penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah akan bermula 8 Januari ini sehingga suatu tarikh yang dimaklumkan kelak dan tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa hari ini.

Khairy berkata selain itu, turut diputuskan adalah kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak Nadma bagi jemaah umrah yang pulang ke Malaysia bermula 3 Januari ini. – 1 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen