Pusat karaoke berselinding di sebalik pagar besi, CCTV diserbu 


TAKTIK lapuk sebuah pusat karaoke di Puchong berselindung di sebalik pagar besi elektronik diawasi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa tidak menjadi selepas digempur dalam operasi malam tadi.

Serbuan hasil maklumat dan risikan dijalankan bermula 8 malam oleh Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berjaya menahan 15 pelayan pelanggan (GRO) warga asing.

Ketua Penolong Pengarah D7 SAC Mohamad Noor Yusof Ali berkata kesemua mereka yang merupakan warga China dan Vietnam berumur lingkungan 20 hingga 40-an ditahan semasa sedang leka melayan pelanggan yang berada di dalam premis terbabit. 

“Polis turut menahan empat warga tempatan selaku pengurus premis selain lima pekerja warga Bangladesh,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati pusat hiburan terbabit beroperasi secara sorok-sorok dengan membenarkan hanya pelanggan tetap yang masuk selain tidak mempunyai lesen pengoperasian.

“Siasatan lanjut mendapati premis tiga tingkat terbabit terletak di kawasan sunyi selain mempunyai 19 bilik karaoke di dalamnya yang hanya boleh disewa oleh sesiapa yang benar-benar mengetahui tentang perkhidmatan disediakan di premis itu.

“Pelanggan dikenakan harga RM800 hingga RM8,000 mengikut saiz bilik bagi memenuhi kehendak pelanggan,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek disiasat di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan Imigresen serta Seksyen 55b, Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Selangor 1995 dan Seksyen 76(1) Akta Eksais 1976,” katanya. – Bernama, 1 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen