Taiwan gesa China henti ‘penerokaan ketenteraan’


Presiden Taiwan Tsai Ing-wen berkata ketenteraan bukanlah pilihan untuk kedua-dua pihak menyelesaikan perbezaan mereka. – Gambar AFP, 1 Januari, 2022.

PRESIDEN Taiwan pada Sabtu menggesa China untuk mengekang “penerokaan ketenteraannya”, ketika ketegangan kedua-dua pihak mencapai tahap tertinggi sekarang.

Beijing memperhebatkan tekanan ketenteraan dan diplomatik ke atas Taiwan sejak Tsai Ing-wen mula berkuasa pada 2016, kerana beliau menolak pendirian yang negara kepulauan itu adalah wilayah China.

Pesawat pejuang China melakukan jumlah penerbangan tertinggi di zon pertahanan udara Taiwan sejak beberapa bulan lepas.

Pihak berkuasa di Beijing “perlu menghentikan penebaran penerokaan ketenteraan mereka”, kata Tsai dalam ucapan tahun baharunya.

“Penggunaan ketenteraan memang bukan satu pilihan untuk menyelesaikan perbezaan kedua-dua pihak.”

Beijing menganggap Taiwan adalah sebahagian wilayahnya, dan berikrar akan mengambilnya semula walaupun terpaksa menggunakan kekerasaan.

Presiden Xi Jinping dalam ucapan tahun baharunya mengisytiharkan yang “penyatuan sepenuhnya tanah air kita adalah aspirasi dikongsi oleh rakyat” di China dan Taiwan.

Kementerian Pertahanan Taiwan memberi amaran pada Oktober yang ketegangan ketenteraan dengan China berada pada tahap tertinggi dalam tempoh empat dekad selepas peningkatan jumlah pesawat China memasuki zon pertahanan udaranya.

Beijing turut memperhebatkan usaha sejak beberapa tahun lepas untuk mengasingkan Taiwan di pentas antarabangsa.

Ia menganggap sebarang deklarasi rasmi Taiwan sebagai “merdeka” adalah provokasi dan berulang kali memberi amaran kesan buruk kepada mana-mana negara yang menyokong Taiwan dalam menentukan sendiri kedudukan negara itu.

Beijing turut menggalakkan sekutu diplomatik Taiwan untuk mengubah pegangan.

Terbaru, Nicaragua mengiktiraf kuasa Beijing ke atas Taipei dan China membuka kedutaannya di negara Amerika Tengah itu pada Jumaat lalu. – AFP, 1 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen