JUMLAH ketidakhadiran kakitangan hospital di England disebabkan Covid-19 meningkat sekali ganda dalam tempoh sebulan.
Kakitangan hospital yang jatuh sakit atau menjalani kuarantin kendiri disebabkan virus itu meningkat daripada 11,375 pada 29 November kepada 24,362 pada 26 Disember.
Pengarah Kesihatan Kebangsaan Stephen Powis berkata peningkatan mendadak ketidakhadiran kakitangan hospital itu bersamaan dengan jumlah pesakit dalam tempoh 10 bulan.
“Jumlah pesakit di hospital akibat Covid-19 di United Kingdom (UK) merekodkan 11,898 orang pada Rabu lalu, angka tertinggi sejak awal Mac iaitu peningkatan 40% dalam tempoh seminggu.
“Buat masa ini, pihak kami masih belum tahu tahap peningkatan membabitkan varian Omicron,” katanya.
Powis berkata Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) kini sedang berperang, manakala semua kakitangan dalam keadaan bersiap siaga bagi berdepan sebarang kemungkinan.
UK antara negara Eropah yang terkesan akibat Covid-19, melaporkan 148,421 kematian setakat ini dengan 189,846 kes baharu dilaporkan.
NHS England melaporkan hanya 67% pesakit Covid-19 menerima rawatan untuk virus itu, manakala bakinya disahkan positif selepas dimasukkan ke hospital.
Malah, perkhidmatan kesihatan negara terbabit sudah membina beberapa hospital medan sebagai persediaan bagi menampung jumlah pesakit jika katil sedia ada tidak mencukupi.
Agensi itu dijangka menyediakan 4,000 katil, termasuk menggunapakai kemudahan hospital sedia ada termasuk gimnasium atau pusat pendidikan. – AFP, 1 Januari, 2022.
Komen