RIBUT kuat membawa salji tebal melanda Colorado semalam, sehari selepas api liar membakar hutan susulan angina kuat taufan, memusnahkan ratusan rumah dan menyebabkan puluhan ribu penduduk meninggalkan rumah untuk mendapatkan perlindungan.
Ribut salji dijangka melanda beberapa bahagian di negara itu, di mana ia dapat membantu memadamkan api tetapi juga membawa cabaran baharu yang mengancam nyawa ketika melakukan perjalanan, menurut Perkhidmatan Cuaca Negara AS.
“Cuaca sangat sejuk ketika malam tahun baharu ini,” kata pejabat NWS di Boulder menerusi Twitter, menambah salji akan turun di hampir keseluruhan kawasan pada waktu tengah malam.
Sekurang-kurangnya 33,000 penduduk di bandar Superior dan Louisville terpaksa berpindah ke pusat perlindungan, kata pihak berkuasa, susulan kebakaran memusnahkan kawasan mereka dalam cuaca kemarau.
Pihak berkuasa menganggarkan 600 rumah hangus.
Tetapi cuaca sejuk pada masa ini dengan angin sederhana memperlahankan hampir keseluruhan api liar di kawasan hutan.
Asap masih kelihatan di beberapa tempat di Superior awal pagi ini.
Sekurang-kurangnya 650 hektar kawasan terbakar terutama di pinggir bandar Boulder County.
Kebakaran itu turut membabitkan sebuah hotel, pusat beli-belah dan kompleks pangsapuri di Superior. – AFP, 1 Januari, 2022.
Komen