Kanak-kanak maut insiden bunga api di Belanda


Sebelum pandemik Covid-19, rakyat Belanda secara tradisionalnya meraikan Tahun Baharu dengan menghabiskan duit membakar bunga api. – Gambar fail EPA, 1 Januari, 2022.

SEORANG kanak-kanak berusia 12 tahun terbunuh dan seorang lagi cedera parah dalam satu nahas membabitkan bunga api di Belanda, kata polis.

Larangan membakar bunga api dikuatkuasakan di seluruh negara ketika sambutan Tahun Baharu.

Insiden berlaku di bandar kecil di Haaksbergen, berhampiran sempadan Jerman, ketika kanak-kanak terbabit sedang melihat seorang dewasa membakar bunga api buatan sendiri.

“Seorang kanak-kanak lelaki 12 tahun maut selepas insiden itu, seorang lagi dibawa ke hospital,” kata polis di Twitter.

Mangsa tidak ada kaitan dengan insiden itu kerana mereka hanya melihat seorang lelaki memasang bahan letupan menggunakan “klaphamer”, lapor stesen televisyen awam NOS.

Alat itu pada asalnya ialah versi naik taraf mainan pistol, menggunakan serbuk yang menghasilkan bunyi kuat.

Polis menahan seorang lelaki berhubung insiden itu.

Sebelum pandemik Covid-19, rakyat Belanda secara tradisionalnya meraikan Tahun Baharu dengan menghabiskan duit membakar bunga api dan menjadikan jalan raya seperti medan perang secara maya.

Tetapi amalan itu diharamkan sejak dua tahun lalu. Menteri Kesihatan Hugo de Jonge berkata kecederaan berkaitan bunga api menambah tekanan kepada petugas kesihatan yang sedia terbeban dengan pandemik koronavirus. – AFP, 1 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen