OMICRON menjadi strain koronavirus utama di Perancis apabila jumlah jangkitan meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini, kata agensi kesihatan awam negara itu.
“62.4% ujian menunjukkan profil yang serasi dengan varian Omicron pada awal minggu ini berbanding 15% minggu sebelumnya,” kata agensi itu dalam tinjauan mingguan terbarunya yang diterbitkan semalam.
Penularan varian Omicron dijangka kerana ia sangat mudah dijangkiti dan menjadi dominan di negara Eropah lain termasuk Britain dan Portugal.
Strain itu menyumbang kepada peningkatan semasa dalam kes yang melebihi 200,000 dalam tempoh 24 jam dari Rabu hingga Khamis.
Hospital Perancis kini merawat 18,321 pesakit Covid-19 termasuk 1,922 kemasukan baharu antara Rabu dan Khamis dengan lebih 3,500 orang di dalam unit rawatan rapi.
Berdepan dengan gelombang jangkitan kerajaan mengumumkan pada Isnin sekatan baharu dengan menguatkuasakan perintah bekerja dari rumah dan mengenakan had ke atas bilangan yang menghadiri acara awam.
Virus itu sudah meragut 123,552 nyawa di Perancis sejak ia dikesan di China pada akhir 2019. – Bernama, 31 Disember, 2021.
Komen