BEKAS Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB) Masao Fujioka meninggal dunia pada usia 97 tahun, menurut bank pembangunan serantau itu.
Berkhidmat sebagai presiden dari 1981 hingga 1989, Fujioka mempengerusikan bank itu pada satu daripada tempoh yang paling dinamik dalam sejarah perkembangan institusi itu.
Di bawah kepimpinannya, pinjaman tahunan ADB meningkat hampir dua kali ganda kepada AS$3.2 bilion pada 1988 daripada AS$1.7 bilion pada 1981 dan pembayaran hampir tiga kali ganda kepada AS$1.65 bilion daripada AS$667 juta.
Pada 1986, China menyertai ADB, dan pinjaman pertama diluluskan untuk India.
“Fujioka akan sangat dirindui oleh institusi ini dan mereka yang pernah mengenali dan bekerja dengannya,” kata Presiden ADB Masatsugu Asakawa dalam satu kenyataan.
“Pencapaian beliau dalam tempoh yang lama membantu mengukuhkan kehadiran ADB dengan ketara di rantau Asia dan Pasifik. Kami sentiasa berterima kasih kepada beliau atas wawasan jauh dan kepimpinannya.
Keluarga Fujioka berkata beliau meninggal dunia di Tokyo, Jepun pada 27 Disember.
Penglibatan beliau dalam ADB bermula sejak penubuhan institusi itu. Pada 1966, Kementerian Kewangan Jepun meminjamkannya ke Suruhanjaya Ekonomi Asia dan Timur Jauh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berpangkalan di Bangkok, yang mengusahakan penubuhan ADB.
Bank itu kini mempunyai 68 ahli, berbanding 31 ahli di awal penubuhannya. Malaysia menyertai ADB sebagai ahli pengasas pada tahun penubuhannya, 1966. – Bernama, 31 Disember, 2021.
Komen