Peniaga, penduduk bantah projek lebar jejambat Jalan Yew


Hailey Chung Wee Kye

Peniaga dan penduduk di Jalan Yew, Kuala Lumpur hari ini mengadakan bantahan aman bagi menolak cadangan DBKL untuk melebarkan jejambat Jalan Yew-Jalan Sungai Besi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 31 Disember, 2021.

PENJAJA, peniaga dan penduduk di Jalan Yew, Kuala Lumpur hari ini mengadakan bantahan aman bagi menolak cadangan untuk melebarkan jejambat Jalan Yew-Jalan Sungai Besi, yang didakwa akan merugikan perniagaan mereka.

Projek yang dicadangkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dikatakan bernilai RM90 juta.

Ahli Parlimen Cheras Tak Kok Wai yang turut berada di lokasi berkata, projek tersebut dijadualkan bermula Januari tetapi ditangguhkan selepas pihak berkepentingan menghantar surat bantahan kepada DBKL pada 9 Disember lalu.

“DBKL keluarkan tender projek kepada kontraktor pada 4 Ogos 2020, ketika itu Pakatan Harapan bukan lagi kerajaan. Kita tidak dirujuk mengenainya.

“Tetapi mendapat surat bantahan, DBKL kata mereka bercadang untuk ubah reka bentuk pelebaran jejambat, tetapi penduduk di sini tetap menolak projek ini,” katanya kepada pemberita.

Projek melebarkan jejambat berkenaan akan menghubungkan Lebuhraya Sungai Besi dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

Satu jawatankuasa bertindak yang mengetuai bantahan telah berjaya memperoleh kira-kira 100 tandatangan dan sokongan lebih 1,000 perniagaan.

“Kami merayu kepada DBKL untuk teliti perkara ini. Projek ini hanya akan memburukkan lagi keadaan di Jalan Yew,” kata presiden jawatankuasa berkenaan, Yong Pock Yau.

Projek itu antara lain akan menjejaskan perniagaan di kawasan sekitar, tambahnya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Malaysia Rosli Sulaiman berkata apa yang patut kerajaan utamakan ketika ini adalah ekonomi rakyat.

“Yang paling utama sekarang ialah ekonomi, bagaimana perniagaan teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lepas,” katanya. – 31 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen