Najib sudah tiada sekelumit rasa malu


NAJIB Razak sememangnya benar-benar sudah tidak ada sekelumit pun rasa malu dalam diri. 

Status dia sebagai pesalah jenayah sudah pun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan. 

Kes dia ini telah diteliti oleh empat orang Hakim yang berkaliber dan berpengalaman dalam institusi perundangan.

Lebih jelik lagi bilamana seorang yang didapati bersalah dalam menyeleweng dana SRC dan dana negara Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) berucap dalam sebuah majlis yang merujuk kepada World Chinese Economic Forum (WCEF).

Tindakan jenayah penyelewengan dana rakyat oleh Najib Razak sendiri disifatkan “National Embarrassment” oleh Hakim Mahkamah Rayuan. 

Hanya kelompok yang bersimpati kepada penjenayah yang akan menjemput seorang penjenayah untuk memberikan ucaptama dalam sesuatu acara atau majlis.

Mustahil untuk kita minta serigala untuk menjaga reban ayam sedangkan ayam itulah yang akan dilahap dan dilapah dengan gelojoh oleh serigala itu.

Apakah tujuan beliau berucap dalam forum ekonomi dengan hanya lebih menekankan tentang soal politik dan melemparkan tuduhan bahawa Dr Mahathir Mohamad adalah seorang rasis? 

Ia tidak lain dan tidak bukan hanyalah semata-mata untuk mendapatkan perlindungan dan sokongan dari mereka yang bersimpati kepada penjenayah seperti dia.

Adakah rakyat Malaysia dan warga dunia perlu lebih percaya kepada seorang penjenayah yang telah didapati bersalah dan menanti hukuman penjara 12 tahun?

Apatah lagi bilamana kelompok rakan sekongkol dia adalah dari kawan-kawan yang terkait dengan pelbagai tuduhan jenayah.

Siapakah dianya rakan sekongkol yang menjemput Najib Razak untuk berucap dalam perihal ekonomi yang bukan merupakan bidang dia? 

Sudah tentulah dianya orang yang berkepentingan. Individu terbabit pernah menjadi suspek pada tahun 2019 dalam satu jenayah ugutan terhadap Jefrey Cheah, Pengerusi Sunway Group.

Individu ini dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) hanya kerana ketidakhadiran pengadu iaitu Jefrey Cheah. Jadi, siapakah rakan Najib Razak ini?

Dengan status DNAA, bila-bila masa saja siasatan dibuka kembali serta diteruskan dan tuduhan masih boleh dibuat semula.

Jadi apakah kewajaran dan logiknya untuk rakyat mendengar tohmahan jahat yang dilemparkan kepada Lee Kim Yew yang dituduh sebagai kroni penyamun Dr. Mahathir Mohamad? 

Soalnya, siapa yang telah mempunyai rekod dihadapkan dengan pertuduhan jenayah di Mahkamah? 

Bukankah mereka itu Najib Razak dan Cheah Chyuan Yong yang dilihat berjalan seiringan dalam majlis World Chinese Economic Forum (WCEF) yang dianjurkan baru-baru ini?

Penglibatan Dr. Mahathir Mohamad dalam apa jua perniagaan hanyalah beberapa tahun setelah beliau meletakkan jawatan. 

Ini amat berbeza dengan keadaan Najib Razak yang menerima ratusan juta Dollar Amerika ke dalam Akaun Peribadi semasa dia masih menjadi Perdana Menteri Malaysia yang Kelima.

Jumlah wang yang diterima dari Blackstone Asia (BVI) lebih AS$850 juta sebelum pilihanraya umum dan diwujudkan watak Sheikh palsu Arab Saudi “Saud Abdulaziz Majid al-Saud” bagi menghalalkan dana yang dia terima tersebut. 

Adakah menerima dana yang diragui sumbernya jauh lebih baik dari berniaga?  Najib Razak ini telah pun dibuktikan bersalah dan terdesak untuk memburukkan imej pemimpin yang disegani dunia luar.

Penjenayah hanya akan bersekongkol dengan rakan jenayah lain dan akan berusaha dengan apa cara sekalipun termasuk melengah-lengahkan pelupusan kes di Mahkamah semata-mata untuk menyucikan dirinya dari kejahatan yang telah dilakukan.

Itulah hakikat kehidupan seorang penjenayah yang sanggup mengkhianati agama, bangsa dan tanah air.

* Akif Rusli merupakan Ketua Penerangan Pejuang Muda Malaysia Parti Pejuang Tanahair (Pejuang)

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen