POLIS Myanmar menahan seorang lelaki sakit mental yang mengaku melontar bom petrol ke dalam halaman rumah pemimpin Aung Sann Suu Kyi di Yangon minggu ini.
Suu Kyi tidak berada di rumah apabila bom itu dilontar di depan pintu rumahnya pada Khamis lalu yang menyebabkan kerosakan kecil.
Tetapi kejadian itu tidak melemahkan sokongan penyokong pemenang Hadiah Nobel itu yang memperjuangkan perubahan Myanmar menjadi sebuah negara demokratik tetapi kemudiannya dikecam masyarakat antarabangsa disebabkan kegagalannya mengecam salah laku tentera ke atas penduduk Rohingya Islam.
Berdasarkan gambar diambil saksi, polis menahan Win Naing, 48, pada awal pagi Jumaat, menurut laporan yang memetik kenyataan polis Yangon di akaun rasmi Facebook mereka.
“Dia mengaku mengambil botol berisi petrol…dan melemparkannya ke situ,” kata laporan itu yang mendedahkan Win Naing bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat pembinaan.
Polis percaya Win Naing mempunyai “masalah mental” tetapi akan terus mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.
Dia memberitahu polis tindakannya itu disebabkan oleh “sumpahan sihir”, kata polis lagi.
Suu Kyi tidak mengulas kejadian itu, yang berlaku hampir setahun selepas pembunuhan penasihat utamanya, Ko Ni.
Ko Ni, antara orang Islam yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan di negara majoriti Buddha, ditembak di kepala di luar lapangan terbang.
Pembunuhan itu mencetuskan ketakutan dalam masyarakat Islam dan parti pemerintah kerana pembunuhan politik jarang berlaku di Myanmar. – AFP, 3 Febuari, 2018.
Komen