MYANMAR menafikan laporan terdapat lima kubur besar masyarakat Rohingya di sebuah kampung di kawasan bergolak Rakhine, susulan tindakan kekerasan tentera terhadap minoriti Islam itu.
Askar Myanmar dituduh melakukan kempen pembersihan etnik terhadap Rohingya, dengan hampir 700,000 melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos.
Myanmar menafikan tuduhan itu, berkata ia melancarkan tindakan kekerasan terhadap pemberontak Rohingya, tetapi menghalang wartawan dan penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu daripada masuk ke zon konflik secara bebas.
Pada Sabtu, media kerajaan melaporkan pihak berkuasa Rakhine menafikan siasatan Associated Press (AP) baru-baru ini yang menyatakan keterangan daripada pelarian Rohingya dan rakaman video daripada telefon bimbit mendedahkan kewujudan lima kubur besar yang tidak dilaporkan selama ini di kampung Gu Dar Pyin di Rakhine.
Selepas pemeriksaan dibuat di kampung itu, sepasukan pegawai kerajaan, polis dan penduduk tempatan menafikan laporan AP itu, lapor Global New Light of Myanmar.
“Penduduk kampung mengulangi kenyataan itu bahawa mereka tidak pernah dengar tentang pembunuhan besar-besaran berhampiran kampung mereka,” katanya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata berlaku pertempuran berdarah antara pasukan keselamatan dan militan Rohingya di kampung itu pada 28 Ogos, beberapa hari selepas tindakan keras ketenteraan dilancarkan.
Seramai 19 “pengganas” terbunuh dalam pertempuran itu dan dikebumikan, menurut laporan itu, yang tidak menjelaskan secara lanjut lokasi kuburnya.
Jurucakap kerajaan Myanmar pada masa ini tidak dapat dihubungi.
Myanmar sekeras-kerasnya menafikan sebarang salah laku dalam kekerasan terhadap Rakhine, walaupun berlambak keterangan daripada pelarian menggambarkan bahawa pasukan keselamatan membunuh orang awam, melakukan rogol besar-besaran dan membakar perkampungan Rohingya sehingga hangus. – AFP, 3 Februari, 2018.
Komen