SATU kertas putih berhubung kawalan eksport dikeluarkan Jabatan Penerangan Dewan Negara China buat pertama kali, di Beijing, semalam
Menurut jabatan itu, kertas tersebut bertujuan menerangkan pendirian, sistem dan amalan China dalam menyempurnakan tadbir urus kawalan eksport.
Ia turut menjelaskan anjuran dan tindakan negera berkenaan dalam pemeliharaan kedamaian serta pembangunan dunia, keselamatan negara dan antarabangsa.
Memetik kertas putih itu, ia menyebut dunia kini menghadapi perubahan yang tidak pernah dialami sejak seratus tahun lalu, sekali gus mengakibatkan sistem dan aturan keselamatan antarabangsa terkesan.
Justeru, kawalan eksport secara adil, rasional dan tanpa diskriminasi dilihat penting bagi mengatasi ancaman dan cabaran sejagat, serta kedamaian dan pembangunan dunia.
Turut dinyatakan dalam kertas putih itu, China kini lebih aktif mengambil bahagian dalam proses globalisasi ekonomi dengan mengekalkan konsensus keselamatan negara secara menyeluruh.
China juga komited terhadap pelaksanaan sistem ekonomi terbuka dan negara selamat pada taraf lebih tinggi, serta mendorong kepada pemodenan sistem kawalan eksport.
Negara itu turut melaksanakan tanggungjawab antarabangsa termasuk memperkasakan pertukaran dan kerjasama, selain bertindak selaras dengan norma antarabangsa dalam bidang kawalan eksport.
Kertas putih dengan 9,000 perkataan tersebut menyenaraikan empat kandungan, iaitu pendirian asas China mengenai kawalan eksport, penambahbaikan sistem perundangan dan sistem pengurusan kawalan eksport, penggalakan pemodenan sistem kawalan eksport, serta mengaktifkan pertukaran dan kerjasama antarabangsa dalam sektor kawalan eksport. – Bernama, 30 Disember, 2021.
Komen