Gerai makan tepi jalan masih terjejas akibat pandemik


Ravin Palanisamy Elill Easwaran

Peniaga gerai di tepi jalan masih kekurangan pelanggan dan jumlah jualan tidak sama seperti zaman sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 Disember, 2021.

PENIAGA gerai di tepi jalan masih bergelut untuk kembali berniaga selepas pandemik Covid-19 walaupun orang ramai kini boleh makan di premis dan kehidupan sudah hampir kembali normal dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

Dengan sebahagian rakyat Malaysia memilih untuk makan di restoran lebih mahal selepas “terkurung” sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP), kebanyakan gerai tepi jalan hanya mampu mencapai 70% jualan.

Pelanggan berkurangan di kedai makan Hani, Restoran Lela Selera Pantai Timur di Brickfields, Kuala Lumpur.

Peniaga itu berkata perniagaannya mersoto 30% setiap hari kerana kekurangan pelanggan.

“Perniagaan saya hanya kira-kira 70% daripada jualan sebelum zaman Covid,” kata Hani, yang berniaga dari 7.30 pagi hingga 10 malam.

Sebelum Covid, Hani berkata pelanggan suka datang makan pada waktu malam dan masih ramai pelanggan di kedainya walaupun selepas 9 malam.

“Sekarang, seorang pun tidak ada datang selepas 9 malam,” katanya.

Beliau bekerjasama dengan syarikat penghantaran makanan seperti FoodPanda, tetapi sambutan diterima daripada pelanggan, biasa-biasa saja untuk tempahan secara atas talian.

Peniaga gerai char kway teow yang hanya mahu dikenali sebagai Ting, berkata perniagaannya masih perlahan walaupun gerainya terletak di Jalan Klang Lama dan dikelilingi pejabat serta kawasan perumahan.

Kebanyakan gerai tepi jalan hanya mampu mencapai 70% jualan apabila sebahagian rakyat Malaysia memilih makan di restoran lebih mahal selepas

Walaupun ada peningkatan apabila orang ramai kini lebih bebas untuk keluar, perniagaannya tidak lagi seperti ketika sebelum Covid.

“Sebelum Covid-19, saya biasanya dapat 120 hingga 130 pelanggan sehari. Sekarang hanya sekitar 70-80 saja.

“Pengurangan hampir 30% daripada segi jumlah pelanggan,” kata Ting, 50.

“Saya terfikir juga adakah keadaan akan kembali seperti biasa, seperti dulu,” katanya.

Sundaram, yang mengendalikan Sundaram Food Corner di Kuala Lumpur, bergantung kepada pelanggan daripada kalangan kakitangan pejabat yang sejak dua tahun lalu, bekerja dari rumah.

“Ketika PKP, saya hilang pelanggan daripada kalangan pekerja pejabat. Ada juga tempahan penghantaran makanan sepanjang tempoh itu, tetapi jumlah perniagaannya tidak sama.

“Sekarang keadaan perlahan-lahan kembali normal, tetapi bagi peniaga warung seperti kami, panjang lagi masa perlu diambil untuk pulih,” katanya.

Gerai makan Sundaram beroperasi 24 jam.

“Dengan varian baharu Omicron, perniagaan saya akan pulih dengan cara sangat perlahan kerana masih ramai yang enggan beli makanan di luar,” katanya.

Setakat ini, 62 kes varian Omicron dikesan di negara ini.

Kadar imunisasi Malaysia pada masa ini ialah lebih 78% daripada jumlah populasi. – 30 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen