Proses kerakyatan anak lahir di luar negara selesai 3 bulan


Hailey Chung Wee Kye

Anak kepada wanita tempatan yang berkahwin dengan lelaki asing dan dilahirkan di luar negara kini boleh mendapat kewarganegaraan di JPN dalam masa 3 bulan. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Disember, 2021.

WANITA Malaysia kini boleh memohon dan mendapatkan kewarganegaraan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara dari mana-mana pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terdekat, kata Family Frontiers hari ini.

Hari ini, tiga ibu pergi ke ibu pejabat JPN di Putrajaya dan berkata proses “pantas” dan “cekap”, tulis pertubuhan bukan kerajaan itu dalam satu kenyataan.

“JPN menerima borang kewarganegaraan di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan sijil kewarganegaraan akan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan kepada kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh ibu yang terlibat,” kata kumpulan itu.

Dengan sijil tersebut, anak mereka boleh mendapat kad pengenalan dan diiktiraf secara rasmi sebagai rakyat Malaysia.

Ia menambah yang JPN juga memaklumkan mengenai mengeluarkan arahan kepada semua pejabat JPN lain di negara ini, serta Kedutaan Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi, untuk memudahkan ibu Malaysia mendapatkan dokumen berkaitan kewarganegaraan anak kelahiran luar negara.

Presiden Family Frontiers Suriani Kempe berkata lawatan hari ini ke JPN memberikan nyawa dalam keputusan Mahkamah Tinggi dan mengesahkan wanita tempatan mempunyai hak yang sama seperti lelaki dalam memberikan kewarganegaraan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Family Frontiers mewakili enam ibu Malaysia dalam isu kewarganegaraan dan pada 9 September, menang kes terhadap kerajaan, ketua pengarah JPN dan menteri dalam negeri.

Mahkamah Rayuan juga menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 22 Disember.

Tiga ibu yang ke pejabat JPN hari ini adalah sebahagian daripada pihak yang memfailkan saman itu.

Seorang ibu, Adlyn Adam Teoh, turut menyatakan kelegaan yang perintah Mahkamah Tinggi dipatuhi.

Pada masa ini, Family Frontiers sedang menunggu rayuan kerajaan untuk didengar di Mahkamah Rayuan pada Mac tahun depan.

Pada 14 September, kerajaan, ketua pengarah JPN dan menteri dalam negeri memfailkan rayuan terhadap keputusan 9 September itu.

“Kami berterima kasih kepada JPN kerana memudahkan proses itu dengan cekap, tetapi mengekalkan gesaan kami agar kerajaan melakukan perkara yang betul - menarik balik rayuan.

“Untuk meneruskan rayuan itu tidak masuk akal dari segi moral atau ekonomi, dan tidak mempunyai belas kasihan dan buta terhadap realiti kehidupan wanita Malaysia dan anak-anak mereka,” kata Family Frontiers. – 29 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen