Jawatankuasa khas Parlimen patut siasat Azam Baki


JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri harus memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk menjelaskan dakwaan terhadapnya yang timbul sejak dua bulan lalu, yang menyebabkan “defisit kepercayaan” terhadap kerajaan dan SPRM yang menurun ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Jawatankuasa Pilihan Khas perlu mengemukakan laporannya kepada Dewan Rakyat pada hari pertama mesyuarat pertama sesi kelima Parlimen yang akan bersidang dari 28 Februari hingga 24 Mac, 2022.

Ahli akademik Edmund Terence Gomez mengemukakan peletakan jawatan mengejutnya daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tanda protes terhadap kegagalan Panel berkenaan bertindak terhadap isu tersebut.

Amat mengejutkan apabila perdana menteri dan SPRM memandang ringan isu ini kerana tiada sebarang tindakan diambil sejak dua bulan lalu.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri harus bertindak untuk menunjukkan perkara ini bukan perkara remeh tetapi mengembalikan menyakinkan orang ramai terhadap kerajaan secara keseluruhan dan SPRM khususnya.

Malah, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu memanggil semua Pengerusi lima jawatankuasa pengawasan SPRM bagi memastikan SPRM melaksanakan tugas pencegahan rasuah – Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan (JKA), Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) untuk menjelaskan apa yang dilakukan mereka susulan dakwaan serius terhadap ketua pesuruhjaya SPRM lebih dua bulan lalu.

Tujuan lima entiti pengawasan itu dibentuk untuk memastikan SPRM melaksanakan tugasnya secara bebas, telus dan profesional. Rakyat Malaysia mengharapkan kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan kebertanggungjawaban SPRM dalam melaksanakan tanggungjawab undang-undang yang ditetapkan.

SPRM gagal dalam hal ini berikutan timbul dakwaan serius terhadap ketua pesuruhjaya SPRM.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen seharusnya bukan saja menyiasat kegagalan SPRM tetapi membuat cadangan bagaimana masalah ini boleh diatasi. – 29 Disember, 2021.

* Lim Kit Siang ialah ahli Parlimen Iskandar Puteri.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen