Media tempatan Hong Kong diserbu, 6 ditahan kerana menghasut


Polis Hong Kong serbu pejabat media tempatan, Stand News hari ini dan menahan enam kakitangan dan bekas kakitangannya. – Gambar EPA, 29 Disember, 2021.

POLIS Hong Kong menyerbu sebuah pejabat media tempatan, Stand News hari ini dan menahan enam kakitangan dan bekas kakitangannya atas tuduhan menerbitkan kandungan menghasut.

Penindasan terhadap akhbar tempatan di Hong Kong meningkat sejak protes besar-besaran dan ganas dua tahun lalu selain bantahan terhadap pelaksanaan undang-undang keselamatan negara.

Polis mengesahkan lebih 200 anggotanya dikerah menggeledah pejabat Stand News atas kebenaran mahkamah untuk merampas bahan media dan menahan enam individu.

Wartawan turut menyaksikan sendiri pemangku ketua pengarang Stand News Patrick Lam digari dan dibawa memasuki bangunan pejabat.

Sebelum itu, Stand News menyiarkan secara langsung di Facebook polis berada di luar pintu pejabat timbalan pengarangnya, Ronson Chan.

Dalam video ringkas itu, anggota dilihat memberitahu Chan mereka ada waran untuk menyiasat tuduhan konspirasi bagi satu penerbitan berunsur hasutan di bawah undang-undang era kolonial British itu.

Rumah Chan juga digeledah, tetapi beliau tidak ditahan.

Stand News ialah syarikat media Hong Kong kedua yang menjadi sasaran pihak berkuasa selepas Apple Daily, yang ditutup pada Jun lalu selepas asetnya dibekukan di bawah undang-undang keselamatan negara.

Pihak berkuasa Hong Kong berulang kali mengkritik Stand News, dengan Ketua Keselamatan Chris Tang bulan ini mendakwa syarikat itu menyiarkan laporan berat sebelah dan memburuk-burukkan keadaan penjara.

Media tempatan melaporkan, polis turut menggeledah kediaman bekas ketua pengarangnya, Chung Pui-kuen dan menahannya, selain empat bekas ahli lembaga pengarah syarikat itu, termasuk bintang pop Hong Kong, Denise Ho selain peguam, Margaret Ng, Christine Fang dan Chow Tat-chi. – AFP, 29 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen