Sekatan perjalanan ke atas 8 negara ditarik semula, kata Khairy


Hailey Chung Wee Kye

Kerajaan hari ini mengumumkan penarikan semula sekatan perjalanan sementara ke atas lapan negara di selatan Afrika dan memasukkannya dalam senarai negara berisiko tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2021.

PUTRAJAYA menarik semula sekatan perjalanan sementara ke atas lapan negara di selatan Afrika dan memasukkannya dalam senarai negara berisiko tinggi untuk varian Omicron, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Jumlah negara berisiko tinggi kini ialah 18 termasuk Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

Negara lain dalam senarai ialah United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Arab Saudi, Norway, Perancis, Denmark, India, Kanada and Nigeria.

“Tidak masuk akal untuk melaksanakan laragan perjalanan di lapan negara lagi kerana varian Omicron datang dari banyak negara lain.

“Kita juga melihat penurunan kes di Afrika Selatan. Jadi kita menarik semula larangan dan memasukkanya ke dalam negara berisiko tinggi.

“Mereka yang pulang dari 18 negara berisiko tinggi ini perlu memakai penjejak digital untuk memastikan mereka mematuhi peraturan kuarantin di rumah,” katanya. 

Menteri itu menasihatkan rakyat Malaysia untuk menangguhkan perjalanan mereka ke 18 negara yang disenaraikan sebagai berisiko tinggi jika perjalanan itu “tidak perlu”.

“Tolong, jika boleh elakkan perjalanan ke negara-negara ini sehingga keadaan stabil,” katanya.

Beliau juga meminta semua syarikat pelancongan yang mengendalikan perkhidmatan pakej umrah memastikan pengembara mendapat suntikan dos penggalak dan menjalani kuarantin di rumah sebaik sahaja mereka pulang.

“Banyak kes (Umrah) yang kami terima, mereka diuji negatif Covid-19 sebelum berlepas, negatif semasa tiba dan positif pada hari kelima sejak mereka tiba,” kata ahli Parlimen Rembau itu.

Khairy juga memaklumkan Institut Penyelidikan Perubatan menjalankan ujian genotaip PCR ke atas 366 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pelancong dari 21 Disember sehingga 25 Disember.

“Daripada jumlah ini sejumlah 306 menunjukkan disyaki berkemungkinan varian Omicron dan kini sedang menunggu keputusan ujian penjujukan genom keseluruhan,” katanya.

Khairy menambah menurut data MySejahtera dari 1 Disember hingga 28 Disember menunjukkan 1.4% kes positif Covid-19 yang diberikan Perintah Pengawasan Rumah (HSO) melanggar perintah kuarantin.

Kementerian kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap individu tersebut. – 28 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen