JUMLAH keseluruhan perdagangan antara China dengan Kesatuan Eropah (EU) melalui pelbagai pintu sempadan di wilayah Xinjiang bagi tempoh 11 bulan pertama 2021 merekodkan sebanyak RMB261.82 bilion (RM171.81 bilion), iaitu peningkatan 30% berbanding tempoh sama tahun lepas.
Menurut Kastam Urumqi, daripada jumlah tersebut, eksport China melalui pintu sempadan di wilayah Xinjiang menyumbang RMB197.91 bilion (RM129.87 bilion), peningkatan 27.7%, manakala jumlah import pula mencatat RMB63.91 bilion (RM41.94 bilion) yang menyaksikan peningkatan 37.6%.
Naib Pengarah Jabatan Analisis dan Statistik Sun Tao memaklumkan meskipun berada dalam situasi penularan wabak dan kemelesetan perdagangan global, pertumbuhan pesat dalam perdagangan bilateral masih dapat diwujudkan.
Tiga faktor penyumbang menjadi dorongan pertumbuhan iaitu perkhidmatan kereta api kargo China-Eropah melalui pintu sempadan di wilayah Xinjiang, produk permesinan dan peralatan berkaitan tenaga bersih, katanya.
Dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, sejumlah 11,156 perjalanan kereta api kargo direkodkan melalui pintu sempadan di wilayah Xinjiang, peningkatan sebanyak 26.8% bagi tempoh sama berbanding 2020.
Sementara itu, jumlah keseluruhan berat kargo dilaporkan turut mencecah 1.073 juta tan, meningkat 30.2% berbanding tahun lalu, manakala perdagangan antara China dengan Jerman, Poland, Belanda, Perancis dan Hungary melalui pintu sempadan di wilayah Xinjiang menyaksikan pertumbuhan ketara.
Produk permesinan yang dieksport ke EU menerusi Xinjiang bernilai RMB158.04 bilion (RM103.70 bilion), meningkat 32.9% dari tahun ke tahun, serta turut menyumbang 79.9% kepada jumlah eksport keseluruhan.
Produk pemesinan yang diimport China dari EU melalui pintu sempadan di wilayah Xinjiang meningkat 29.2%, meliputi 65.5% dalam jumlah import keseluruhan melalui wilayah itu. – Bernama, 28 Disember, 2021.
Komen