PEMILIK AirAsia X, Tony Fernandez dan Kamarudin Meranun adalah antara nama baru yang menyertai senarai 40 individu terkaya di Malaysia dalam senarai dikeluarkan The Star Business.
Fernandez dan Kamarudin, kedua-duanya adalah ketua pengawai eksekutif (CEO) bersama AirAsia X berada pada kedudukan ke-17 dengan gabungan kekayaan mencecah RM3.95 bilion selepas penstrukturan dalaman kumpulan itu yang melonjakkan harga saham AirAsia.
Selain mereka, nama lain yang menyertai senarai dengan jumlah kekayaan melebihi RM2 bilion ialah Mohd Abdul Karim Abdullah, Abdul Kadier Sahib dan Awang Daud Awang Putera dari Serba Dinamik Holdings Bhd (RM2.5 bilion) dan Pengurus Dana Cheah Cheng Hye (RM2.47 bilion) dari Value Partners Group.
Individu terkaya dalam senarai 40 hartawan itu ialah Robert Kuok yang kekayaannya mencecah RM13.7 bilion, peningkatan kekayaan tertinggi dalam senarai itu.
Adik beradik yang menerajui Press Metal Aluminium Holdings Bhd, Koon Poh Keong dan Moon Poh Ming mempunyai peningkatan kedua tertinggi kekayaan yang disumbangkan oleh pemulihan harga aluminium, melonjakkan kedudukan mereka daripada tangga 14 ke 8.
40 individu dalam senarai itu secara kolektifnya meningkatkan kekayaan mereka sebanyak RM63.62 bilion (28%) kepada RM290.48 bilion pada hujung 2017.
The Star Business mengatakan jumlah itu terhad kepada nilai saham awam yang dimiliki oleh mereka dan tidak termasuk jumlah hutang untuk membeli saham itu.
Senarai itu berdasarkan pendedahan kepada awam dibuat oleh syarikat itu pada hujung tahun lepas.
Selain Kuok dan adik beradik Koon, nama lain dalam kedudukan 10 teratas adalah nama biasa yang sering muncul dalam senarai individu terkaya Malaysia- Lim Kok Thay daripada Genting Group, Teh Hong Piow (Public Bank), Lee Shin Cheng (IOI Corp), T. Ananda Krishnan (Usaha Tegas Sdn Bhd), Lau Cho Kun (Hap Seng Consolidated Bhd), Quek Leng Chan (Hong Leong), Kuan Kam Hon (Hartalega Holdings) dan Dr Chen Lip Keong dari Naga Corp. – 3 Febuari, 2018.
Komen