Indonesia-Unesco bekerjasama tegak agenda hak asasi manusia


Komnas HAM sedang mendapatkan bantuan Unesco Jakarta dalam mengukuh dan mengarusperdanakan agenda hak asasi manusia di negara itu. – Gambar EPA, 28 Disember, 2021.

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Nasional Indonesia (Komnas HAM) sedang mendapatkan bantuan Unesco Jakarta dalam mengukuh dan mengarusperdanakan agenda hak asasi manusia di negara itu.

Kedua-dua pihak akan bekerja lebih erat ke arah matlamat bersama mereka dengan bidang tumpuan utama termasuk kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan artistik, analisis matlamat pembangunan lestari (SDG) berasaskan hak asasi manusia dan hak orang kurang upaya.

Pengerusi Komnas HAM Ahmad Taufan Damanik berkata kedua-dua pihak baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman yang diperbaharui dan mengesahkan lagi komitmen ketika usaha mengarusperdanakan Hak Asasi Manusia lebih diperlukan berbanding sebelumnya.

Selama 73 tahun, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat menjadi panduan global untuk memastikan maruah dan kesejahteraan manusia.

Namun, pandemik Covid-19 melebarkan lagi jurang, kelemahan, ketidaksamaan yang sedia ada, termasuk dalam hak asasi manusa, dengan kitaran pencabulan hak asasi yang berlaku di seluruh dunia, menurut Unesco Jakarta.

“Hak untuk kesihatan, hak untuk mendapatkan maklumat, hak pekerja, dan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan amat diperlukan, terutamanya semasa krisis bagi menjamin maruah semua orang,” kata pengarahnya Mohamed Djelid.

Institusi itu dan Unesco merasmikan kerjasama itu buat pertama kali pada 2017 untuk memantau pelaksanaan SDG daripada perspektif Hak Asasi Manusia. – Bernama, 28 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen