Serangan udara Israel sasar pelabuhan Syria, lapor media kerajaan


Menurut agensi berita kerajaan Syria, serangan udara Israel ke atas pelabuhan Latakia di Syria telah menyebabkan kerosakan harta benda yang ketara, yang menyebabkan kebakaran. – Gambar AFP, 28 Disember, 2021.

ISRAEL telah membuat serangan udara terhadap pelabuhan Latakia di Syria pada Selasa, serangan kedua ke atas kemudahan utama itu bulan ini, menurut media kerajaan Syria.

Israel telah melakukan ratusan serangan udara ke atas wilayah Syria sejak perang saudara meletus pada 2011, menyasarkan kedudukan kerajaan serta tentera yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah.

“Pada sekitar pukul 3.21 pagi, Israel melakukan pencerobohan udara dengan beberapa peluru berpandu dari arah Mediterranean… menyasarkan kawasan kontena di pelabuhan Latakia,” menurut agensi berita negara Syria SANA memetik sumber tentera sebagai berkata.

Serangan itu menyebabkan “kerosakan harta benda yang ketara” dan menyebabkan kebakaran, tambah agensi itu.

Pada 7 Disember, Israel melancarkan serangan ke atas penghantaran senjata Iran di pelabuhan Latakia, yang terletak di kawasan tengah Syria barat, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Itu adalah serangan pertama ke atas kemudahan itu sejak permulaan perang, menurut Syrian Observatory for Human Rights yang berpangkalan di Britain.

Walaupun negara Yahudi itu jarang mengulas mengenai serangan yang dilakukan ke atas jirannya di utara, ia telah berulang kali mengatakan untuk tidak akan membenarkan Iran berada di Syria. – AFP, 28 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen