PEKERJA yang membongkar alas tugu seorang jeneral Konfederasi menemui kotak tembaga pada Isnin dipercayai telah tertanam sejak 130 tahun lalu, kapsul masa kedua yang ditemui di tapak itu.
“Mereka jumpa!” ciap Gabenor Virginia Ralph Northam bersama gambar kotak itu. “Ini mungkin kapsul masa yang semua orang cari.”
Menurut artikel akhbar 1887, kapsul masa yang tersembunyi di dasar patung Jeneral Robert E. Lee, yang memerintah Tentera Virginia Utara semasa Perang Saudara, mengandungi peninggalan seperti butang dan peluru, mata wang Konfederasi, peta, gambar langka presiden Abraham Lincoln di dalam kerandanya dan barang-barang lain.
Kotak itu akan dibuka pada Selasa pukul 1.00 petang waktu tempatan, kata Northam dalam ciapan seterusnya, menambah ia telah menjalani sinar-X.
“Pakar percaya mungkin ada syiling, buku, butang, dan juga peluru dari Perang Saudara,” katanya.
Bekas bersaiz kotak kasut berbeza yang ditemui di dasar patung itu telah dibuka oleh konservator minggu lalu tetapi jelas bukan kapsul masa yang disebut dalam helaian akhbar 1887.
Ia mengandungi tiga buah buku yang dibasahi air, sekeping gambar dalam sampul kain basah dan sekeping syiling.
Barang-barang itu nampaknya adalah kenang-kenangan yang ditinggalkan untuk anak cucu oleh beberapa pekerja yang mendirikan tugu itu.
Kapsul masa yang ditemui pada Isnin adalah kira-kira dua kali ganda saiz.
Patung Lee di Richmond, bandar Virginia yang merupakan ibu kota Selatan semasa konflik berdarah 1861-65, telah diturunkan pada September, salah satu daripada beberapa monumen Konfederasi properhambaan yang dialih keluar dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Patung itu menjadi tumpuan protes untuk keadilan perkauman tahun lalu berikutan kematian George Floyd, seorang lelaki kulit hitam yang dibunuh oleh seorang pegawai polis kulit putih di Minnesota.
Semasa Perang Saudara, Konfederasi Selatan berpisah dari Amerika Syarikat dan berjuang untuk mengekalkan perhambaan, yang mana seluruh negara telah dihapuskan. – AFP, 28 Disember, 2021.
Komen