Agong berkenan tinjau pasukan bencana Istana Negara buat kerja


Al-Sultan Abdullah berkenan meninjau pasukan bencana Istana Negara melakukan kerja pembersihan di balai raya Kampung Serdang di Mentakab, Pahang. – Gambar Facebook, 27 Disember, 2021.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat meninjau pasukan bencana Istana Negara melakukan kerja pembersihan di balai raya Kampung Serdang di Mentakab, Pahang yang terjejas akibat banjir.

Menurut kenyataan Istana Negara di Facebook, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah turut berangkat bagi meninjau kerja pembersihan itu.

“Pasukan bencana Istana Negara yang diketuai pengarah operasi Zahari Yahya bersama 45 sukarelawan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Istana Negara tiba di Mentakab semalam bagi misi bantuan bencana banjir.

“Pasukan bencana Istana Negara turut menghulurkan sumbangan berbentuk barang keperluan harian kepada penduduk Mentakab yang terjejas akibat banjir,” menurut kenyataan itu.

Penubuhan pasukan bencana Istana Negara adalah atas cetusan idea Seri Paduka dengan tujuan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang hilang tempat berteduh serta mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda susulan musibah banjir.

Usai meninjau kerja pembersihan di balai raya Kampung Serdang, Al-Sultan Abdullah turut berkenan meninjau rumah seorang pesara yang terkesan banjir iaitu Abdul Razak Ariffin dan mengurniakan sumbangan kepada beliau.

Terdahulu, Seri Paduka berkenan menziarahi 383 orang daripada 146 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir (PPS) Bukit Cermin, Mentakab dan meluangkan masa hampir sejam menyantuni dan beramah mesra dengan mangsa banjir.

Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS itu dengan harapan ia dapat mengurangkan beban yang mereka tanggung.

Sebelum berangkat pulang, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Mentakab. – Bernama, 27 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen