PROSEDUR operasi standard (SOP) semasa untuk kurangkan penularan varian Delta dan Omicron Covid-19 di Malaysia sudah mencukupi, kata pakar kesihatan.
Mereka berkata selagi orang ramai mematuhi SOP ini, mereka boleh menjaga keselamatan diri dan orang sekeliling.
Bagi mereka yang melawat dan pulang ke kampung halaman semasa sambutan tahun baru akan datang, mereka disarankan supaya menjalani ujian polymerase chain reaction (PCR) terlebih dahulu, tambah mereka.
Pakar virologi di Universiti Putra Malaysia Dr Chee Hui Yee berkata, tidak seperti ketika Malaysia mula dilanda varian Delta, Malaysia sudah cukup bersedia untuk menghadapi Omicron.
“Mereka yang memasuki negara ini dikehendaki menjalani ujian PCR yang kemudiannya akan dihantar untuk penjujukan genom bagi menentukan sama ada mereka membawa varian Omicron,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Kerajaan telah mengendalikan kes-kes Omicron dengan sangat berhati-hati dan secara aktif menjejaki kes-kes itu tidak seperti ketika varian Delta ditemui dan langkah-langkah yang diambil adalah longgar.”
Chee menasihatkan mereka yang menyambut tahun baharu supaya kekal di satu tempat manakala mereka yang pulang ke rumah dinasihatkan menjalani ujian PCR kerana ia lebih tepat.
“Jika anda dalam perjalanan pulang untuk melawat keluarga warga emas, lakukan ujian PCR kemudian asingkan diri. Jangan buat ujian dan keluar beraya dengan rakan-rakan. Anda mungkin secara tidak sengaja membawa virus itu ke rumah.”
Orang ramai bukan sahaja perlu waspada dengan Omicron, mereka juga mesti berjaga-jaga dengan varian Delta.
“Walaupun gejala Delta adalah ringan, kadar penularannya adalah pantas. Jika sebilangan besar masyarakat dijangkiti, ia boleh meningkatkan kadar kemasukan ke hospital dan memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan.”
Chee turut mengingatkan mereka yang meraikan sambutan tahun baharu supaya mematuhi SOP.
“Sentiasa pakai pelitup muka walaupun bersama rakan dan keluarga.”
Kementerian Kesihatan telah mengesan 49 lagi kes varian Omicron setakat hari Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan kes tersebut kepada 62.
Daripada 62 kes itu, 61 adalah kes diimport, manakala satu - dikesan di Sarawak - membabitkan pesakit tanpa sejarah perjalanan baru-baru ini dan disyaki berjangkit tempatan.
Profesor Moy Foong Ming dari Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Universiti Malaya berkata Malaysia telah mendapat manfaat daripada pematuhan SOP, tidak seperti negara lain yang kini hanya melaksanakannya.
“Di UK, mereka tidak mewajibkan pelitup muka, hanya pada bulan September mereka memutuskan untuk menguatkuasakannya. Selain itu, cuaca sejuk semasa musim sejuk bermakna tiada peredaran udara dan ini meningkatkan risiko jangkitan.”
Di Kuala Lumpur, kebanyakan orang masih mematuhi pemakaian pelitup muka dan berwaspada.
“Selagi SOP dipatuhi, pulang menziarahi keluarga pada tahun baharu tidak menjadi masalah,” katanya.
“Kes harian kita juga telah berada di bawah 5,000 setiap hari dan kita harus kekalkan pada tahap ini.”
May juga mengesyorkan orang ramai melakukan ujian kendiri sebelum pulang ke rumah. Jika bergejala tetapi keputusan ujian negatif, disyorkan supaya mereka tidak melakukan perjalanan.
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berpendapat orang ramai harus mengelak perhimpunan tahun baharu.
“Kadar jangkitan Omicron pasti lebih tinggi daripada Delta dan kadar kematian serta tahap teruk mungkin tidak lebih rendah daripada Delta. Ia juga tidak jelas sama ada vaksin sedia ada boleh menghentikan Omicron.
“Melainkan peratusan besar penduduk telah menerima dos penggalak mereka dan kita tahu lebih lanjut mengenai Omicron, adalah lebih baik kita tidak berkumpul semasa tahun baharu.
“Kawalan sempadan kita juga tidak cukup ketat, sukar untuk mengawal mereka yang masuk melalui laut dan darat. Kami juga tidak tahu sama ada terdapat penularan komuniti Omicron.”
Walaupun semua orang melengkapkan dos penggalak mereka, ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tahap sakit yang teruk dan kadar kematian daripada Omicron dapat dikurangkan secara drastik, tambah Lee. – 28 Disember, 2021.
Komen