Sarjana Islam, Tariq Ramadan didakwa rogol dua wanita


Cendekiawan Islam yang juga profesor Universiti Oxford, Tariq Ramadan didakwa merogol dua wanita di sebuah bilik hotel pada 2009 dan 2012. – Gambar AFP, 3 Februari, 2018.

CENDEKIAWAN Islam, Tariq Ramadan berdepan tuduhan rogol secara rasmi selepas dua wanita mendakwa profesor dari Universiti Oxford itu menyerang mereka di sebuah bilik hotel pada 2009 dan 2012, lapor AFP.

Polis menahan Tariq pada Rabu lalu dan beliau berdepan dua pertuduhan, iaitu merogol serta merogol individu yang lemah.

Selepas dua hari disoal siasat, Tariq dibawa ke hadapan tiga majistret dan berdepan siasatan lebih menyeluruh, lapor AFP memerik sumber kehakiman Perancis.

Pengadu ialah seorang rakyat Switzerland dan cucu kepada pengasas Gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Kes membabitkan cendekiawan terkenal itu menyebabkan masyarakat Islam di Eropah mula berpecah, manakala barisan pengikut dan peguam pembela pula menegaskan ia cubaan untuk menjatuhkan Tariq.

Pengkritik berkata Tariq, 55, mengamalkan pendekatan yang agak radikal apabila membincangkan isu mengenai masyarakat Islam di Asia Barat, walaupun sering kelihatan sederhana dan lemah lembut apabila diwawancara dalam program televisyen.

Beliau individu paling berpengaruh yang ditahan di Perancis setakat ini atas pertuduhan rogol dan serangan seksual.

Bapa empat anak itu menafikan semua tuduhan yang dikemukakan dua wanita berkenaan.

Tariq kerap menjadi tetamu undangan dalam perdebatan televisyen di Perancis dan sering mengkritik sarjana Islam yang menimbulkan ideologi melampau kerana menafsir teks agama secara literal.

Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa baru-baru ini berkata badan itu akan meneruskan kerjasama dengan Tariq dan kekal berkecuali dengan tuduhan rogol terhadap profesor itu dan membiarkan undang-undang menentukannya

“Kita perlu beranggapan beliau tidak bersalah. Untuk mengambil pandangan alternatif akan menjejaskan prinsip kami,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran buku Tariq edisi Bahasa Melayu “Apa Yang Aku Yakini” di Kuala Lumpur, Disember lalu.

Tariq dan IRF bekerjasama rapat, dengan sarjana berkenaan merasmikan IRF pada 2009. Ahli akademik itu pernah berucap di Malaysia tiga kali yang mana kali terakhirnya adalah pada 2013. – 3 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen