POLIS menumpaskan sindiket memproses dan menjual daun ketum yang dipercayai beroperasi sejak lima tahun lepas dengan penahanan empat individu termasuk seorang lelaki bekas penjawat awam dalam serbuan di sekitar bandar raya ini Rabu lepas.
Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata lelaki berusia 35 tahun itu, isterinya berusia 36 tahun yang berperanan sebagai akauntan serta dua pekerja lelaki mereka ditahan antara 2.45 dan 6 pagi.
Beliau berkata serbuan dilakukan susulan penahanan seorang pemandu lori di kawasan hentian Simpang Renggam, Lebuhraya Utara Selatan, pada 21 Disember lepas yang didapati positif methamphetamine dan dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan 700 kilogram daun ketum dari utara ke selatan.
“Sindiket ini dipercayai menyewa sebuah kilang di Kempas, di Johor Bahru pada kadar kira-kira RM1,000 sebulan untuk dijadikan tempat membungkus dan memproses daun ketum.
“Sindiket ini juga memperoleh keuntungan dianggarkan RM120,000 hingga RM200,000 sebulan hasil jualan air dan daun ketum. Bekalan ketum dipercayai diperoleh daripada pembekal utara di tanah air dengan menggunakan lori buah-buahan,” katanya kepada pemberita di Johor Bahru hari ini.
Ayob Khan berkata kegiatan memproses dan menjual ketum popular sejak kebelakangan ini berikutan mendapat permintaan tinggi dengan harga semasa daun ketum antara RM35 dan RM80 sekilogram manakala harga sebotol 1.5 liter air ketum pula antara RM13 dan RM25.
Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati bekas penjawat awam, isterinya serta seorang pekerja tersebut positif terhadap methamphetamine.
Menurutnya, pihaknya turut merampas 75.55 kilogram daun ketum, 60 botol air ketum serta sejumlah peralatan memproses ketum bernilai RM1,655 dalam serbuan itu dan keempat-empat individu tersebut kini direman lima hari untuk siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Ayob Khan berkata pihaknya turut melakukan tangkapan susulan ke atas lapan penjawat awam lelaki berusia 25 hingga 39 tahun pada 8.30 malam tadi di sekitar bandar raya ini dan Kulai.
Beliau berkata penahanan mereka bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan sama ada bersekongkol dengan ketua sindiket berkenaan atau terlibat dalam penggunaan ketum. – Bernama, 27 Disember, 2021.
Komen