5 pegawai tentera maut helikopter bertembung


Sebuah helikopter tiba di tempat kejadian di mana dua helikopter tentera bertembung di kawasan berhampiran tasik Carces, di Saint-Tropez, Perancis menyebabkan lima pegawai maut di tempat kejadian. – Gambar AFP, 3 Februari, 2018.

LIMA pegawai tentera maut apabila dua helikopter berlanggar ketika mengadakan latihan, berdekatan sebuah tasik di selatan Perancis, semalam.

Insiden itu antara nahas terburuk membabitkan pasukan keselamatan negara itu dalam tempoh beberapa tahun.

Nahas berlaku di Tasik Carces, kira-kira 50km di barat laut Saint-Tropez, iaitu beberapa minit selepas kedua-dua pesawat terbabit berlepas pada jam 8.30 pagi (waktu tempatan).

Pendakwa Marseille, Xavier Tarabeaux berkata lima pegawai yang menaiki dua helikopter itu maut di lokasi kejadian.

Katanya, punca nahas masih dalam siasatan tetapi kedua-dua pesawat terbabit tidak dilengkapi dengan kotak hitam yang boleh menjelaskan punca sebenar kejadian.

Tarabeaux berkata tiga daripada mangsa jurulatih berpengalaman dan penyiasat tidak menolak kemungkinan nahas itu berpunca akibat perlanggaran dengan pencawang elektrik.

Sementara itu, seorang pengarah di sekolah latihan penerbangan pesawat ringan EALAT berkata, dua daripada tiga jurulatih itu masing-masing memiliki 3,000 dan 5,000 jam waktu penerbangan.

“Saya tidak fikir nahas itu berpunca daripada kesilapan juruterbang. Mungkin kerana masalah mekanikal atau perhatian mereka sedikit terganggu,” katanya.

Bangkai dua pesawat berkenaan ditemui dalam jarak 600 meter antara satu sama lain, masing-masing terhempas di atas jalan raya dan di dalam hutan. – AFP, 3 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen