Lencongan air di Seri Duta I, kerja stabil cerun tidak lama lagi


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah mengisytiharkan Kondominium Seri Duta 1 tidak selamat untuk diduduki berikutan tanah runtuh separa pada 18 Disember dan mengarahkan penduduk yang terjejas mengosongkan bangunan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 27 Disember, 2021.

TIGA lencongan air telah dipasang bagi menyalurkan air daripada tanah runtuh di kondominium Seri Duta 1 di Taman Duta di Kuala Lumpur, kata Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Katanya, kondominium itu berada di aras paling bawah kawasan sekitar dan aliran air tertumpu di situ.

“Ia sudah hakis tanah, dan lencongan air terpaksa dibina untuk salurkan air daripada tanah runtuh. Setakat ini, ia terbukti berkesan,” katanya pada sidang media hari ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah mengisytiharkan Kondominium Seri Duta 1 tidak selamat untuk diduduki berikutan tanah runtuh separa pada 18 Disember dan mengarahkan penduduk yang terjejas mengosongkan bangunan itu.

Kira-kira 100 penduduk dari empat blok yang terdiri daripada 34 unit terjejas dengan keputusan itu.

ACP Beh berkata pihak pengurusan, Jabatan Kerja Raya dan perunding Kumpulan Ikram Sdn Bhd, akan terus memantau keadaan.

Ahli jawatankuasa persatuan penduduk Seri Duta 1 Benjamin Chan berkata kerja-kerja penstabilan cerun akan dimulakan tidak lama lagi.

“Jurutera kami sedang buat pelan tetapi ketika ini kami tidak boleh ulas lebih lanjut.

“Tetapi kerja-kerja penstabilan akan bermula tidak lama lagi,” katanya seperti dipetik Star online hari ini. – 27 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen