POLIS mahu mengelak risiko kemalangan apabila mengutamakan konvoi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan menghentikan ambulans di sebuah simpang jalan di Hulu Langat semalam.
Keputusan mendahulukan konvoi perdana menteri di jalan utama itu dibuat oleh anggota trafik bertugas selepas meneliti keadaan pada masa itu, kata Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Azman Shari’at.
“Sebaik saja konvoi melepasi persimpangan tersebut pada tempoh yang singkat, anggota trafik telah mengambil langkah segera bagi memberi keutamaan jalan kepada ambulans dan kenderaan pacuan 4x4 berkenaan setelah mendapati tiada risiko kemalangan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Azman mengulas rakaman video yang tular di Twitter semalam yang menunjukkan ambulans Kementerian Kesihatan ditahan di sebuah persimpangan jalan untuk memberi laluan kepada rombongan VIP.
Nyawa boleh tunggu, VIP jalan dulu #maluapabossku pic.twitter.com/nADdOsjdVm
— Syazwan Shah #ConnectRakyat (@syzwnrose) December 26, 2021
Beliau bagaimanapun menyebut ambulans berkenaan milik Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).
Ismail Sabri semalam berada di Hulu Langat untuk meninjau keadaan mangsa banjir dan kerja-kerja pembersihan.
Menurut Azman, anggota polis trafik sentiasa memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan seperti ambulans dan bomba.
Namun dalam keadaan semalam, semasa konvoi perdana menteri dalam perjalanan dari Taman Sri Nanding ke Masjid Al-Mustaqqim, Batu 16 di Hulu Langat, anggota berkenaan memberhentikan ambulans itu selepas “membuat penilaian awal.”
“Ini memandangkan jarak pendahulu konvoi (lead vehicle) yang telah tiba hampir ke persimpangan berkenaan,” katanya.
Tindakan itu juga selaras dengan peraturan mengikut Kaedah Lalu Lintas No 9 LN 166/959 Akta Pengangkutan Jalan 1987, tambahnya.
Jelas Azman, sekiranya kenderaan 4x4 dan ambulans yang hendak keluar dari simpang ke jalan utama tidak ditahan, ia boleh menyebabkan kemalangan dan akan membahayakan pengguna jalan raya.
Rakaman video yang tular semalam menjengkelkan orang ramai yang menganggap pihak polis terlalu mengutamakan orang kenamaan termasuk dalam keadaan cemas yang melibatkan rakyat. – 27 Disember, 2021.
Komen