JUMLAH kematian akibat hujan lebat yang melanda Bahia di Brazil sejak November meningkat kepada 18 orang pada Ahad, ketika arus deras menyebabkan 35,000 orang kehilangan tempat tinggal, kata pihak berkuasa.
Anggota bomba Bahia mengesahkan kematian seorang lelaki berusia 60 tahun yang lemas di sungai di selatan negeri itu pada Ahad.
Dua orang juga hilang, manakala 19,580 hilang tempat tinggal dan 16,001 lagi terpaksa mencari tempat berlindung, menjadikan jumlah penduduk keluar dari kediaman kepada 35,000, kata agensi perlindungan awam Bahia, Sudec.
Sebanyak 286 orang lagi cedera sejak hujan lebat bermula, tambah Sudec.
Menurut anggaran lebih 430,800 orang terjejas, dan keadaan hanya bertambah buruk beberapa hari kebelakangan ini.
Menjelang petang Ahad, bilangan perbandaran dalam darurat meningkat kepada 72, dengan 58 daripadanya mengalami krisis akibat banjir, menurut Sudec.
“Ia adalah satu tragedi yang besar,” kata Gabenor Rui Costa, yang meninjau kawasan yang rosak dengan kapal terbang pada Ahad.
“Saya tidak ingat kejadian dalam dimensi ini dalam sejarah Bahia. Jumlah rumah, jalan dan bandar yang tenggelam benar-benar menakutkan.”
Operasi bersama perkhidmatan kecemasan persekutuan dan negeri digerakkan sejak Sabtu untuk menyelamatkan ribuan penduduk yang terperangkap akibat banjir. – AFP, 27 Disember, 2021.
Komen