7 maut serangan bunuh diri di Congo


Mangsa pengebom berani mati kelihatan di atas tanah ketika tentera Angkatan Tentera DR Congo meronda kawasan serangan di kawasan sesak di Beni, timur negara itu. – Gambar AFP, 27 Disember, 2021.

ANGKA kematian akibat serangan bunuh diri di Beni, di sempadan timur Republik Demokratik Congo dengan Uganda, telah meningkat kepada tujuh orang, kata pegawai pada Ahad.

Pengeboman pada Hari Krismas di kawasan sesak di pusat bandar juga mencederakan 20 orang, menurut jumlah terkini dikeluarkan pihak berkuasa.

Pegawai tentera yang kini menjaga bandar berikutan keadaan darurat telah menyalahkan Pasukan Demokratik Bersekutu (ADF), salah satu kumpulan bersenjata paling bahaya atas serangan tersebut.

“Pada masa ini, jumlah korban mencecah lapan maut, termasuk seorang kapten briged ke-22 yang berada di restoran bersama isteri dan anak-anaknya,” serta pengebom berani mati, kata Menteri Komunikasi Patrick Muyaya.

Antara yang cedera ialah dua gadis, dua lelaki, dua wanita yang cedera di kaki dan dua wanita cedera parah, tambahnya. Dua pegawai tempatan juga antara yang cedera.

Leftenan Jeneral Constant Ndima, gabenor tentera Kivu Utara, berkata pengecaman pengebom itu sukar kerana keadaan mayat itu tetap yakin ia boleh dilakukan.

Wilayah Kivu Utara terletak hanya di selatan wilayah Ituri dan di sempadan DR Congo dengan Uganda.

Kedua-dua wilayah telah berada di bawah “keadaan terkepung” sejak Mei, di mana tentera Congo telah mengambil kawalan untuk memudahkan operasi menentang ADF dan militia lain yang beroperasi di sana.

Pada 30 November, DRC dan Uganda melancarkan operasi bersama terhadap ADF di timur negara itu untuk cuba meredakan serangan berdarah ADF. Uganda juga telah menyalahkan kumpulan itu atas rentetan serangan ke atas wilayahnya.

ADF merupakan pakatan pemberontak Uganda yang kumpulan terbesarnya terdiri daripada orang Islam yang menentang Presiden Uganda Yoweri Museveni.

Ia bertapak di timur DRC pada 1995, menjadi pasukan haram yang paling dahsyat di wilayah bergolak itu.

Ia telah dipersalahkan atas pembunuhan beribu-ribu orang awam sejak sedekad lalu di DRC, serta pengeboman di ibu negara Uganda, Kampala.

Pada 11 Mac tahun ini, Amerika Syarikat meletakkan ADF dalam senarai “kumpulan pengganas” yang bergabung dengan jihad IS. – AFP, 27 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen