Dana Tabung Banjir: Harus datangnya dari mana?


MATLAMAT Kerajaan Malaysia menubuhkan Tabung Banjir mendapat kritikan rakyat, tidak seperti apabila tabung yang sebelum ini ditubuhkan oleh Pakatan Harapan untuk membantu membayar hutang negara.

Yang sepatutnya menderma, pada pandangan saya, adalah menteri-menteri yang mendapat gaji serta segala manfaat yang begitu tinggi sekali diterima setiap bulan.

Sanggupkah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sendiri menyumbangkan gaji tiga bulan untuk mangsa-mangsa banjir kerana mereka adalah sekeluarga dengan beliau?

Bagaimana dengan menteri-menteri lain? Tidak seorang pun yang sedia memberi sumbangan untuk membantu mangsa-mangsa banjir? Mereka sanggup membuat lawatan kononnya turun padang, tetapi tidak langsung berjumpa dan mendengar penderitaan rakyat jelata.

Saya juga ingin mengesyorkan supaya mantan Perdana Menteri Najib Razak juga sama-sama menyumbangkan dana kepada Tabung Banjir. Beliau baru sahaja menerima balik wang lebih seratus juta yang disita oleh Kerajaan Malaysia.

Apabila saya menanyakan soalan ini, seorang bekas menteri kanan yang dulu bersama Najib memberitahu Najib perlu wang itu untuk membayar cukai. 

Andai kata saya tidak membayar cukai pendapatan untuk Tahun Taksiran 2019 saya yang melibatkan taksiran anggaran dan penalti Sembilan Ringgit Lima Puluh Dua Sen (RM9.52), mungkin saya sudah pun menerima surat susulan kedua atau ketiga.

Bukannya Najib itu miskin, tetapi RM100 juta harus dapat membantu ramai rakyat yang binasa seluruh rumah kediaman mereka. Bukankah wang itu sekiranya sudah disita, dan memang sudah hilang langsung? Lebih baik wang yang diperolehi kembali ini digunakan untuk rakyat yang memerlukan.

Ada juga ramai elit Bumiputra yang selama ini mendapat rezeki dari kerajaan, tidakkah mereka seharusnya menyumbang balik dana yang banyak untuk membantu rakyat?

Misalannya berjuta ringgit digunakan untuk membantu syarikat-syarikat yang kerugian besar sebelum ini, seperti MISC Berhad, National Feedlot, Felda Global Ventures, Mara dan sebagainya?

Di mana mereka yang mendapat bantuan dana kerajaan? 

Tidakkah mereka sepatutnya memberi bantuan secukup-cukupnya untuk membantu Keluarga Malaysia? 

Kenapa rakyat kena menjaga rakyat, sedangkan kami ini pun menderita kerana tiada pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan?

Yang sepatutnya menyumbang adalah pihak pemaju Taman Sri Muda? Siapakah pemajunya? Kenapa selepas mendapat keuntungan begitu banyak, sunyi sahaja pemaju-pemaju taman tersebut?

Saya percaya pihak pengurusan zakat juga akan mara untuk menyumbang dan membantu rakyat yang menderita, tanpa mengira bangsa atau agama. 

Penggunaan dana itu amatlah tepat sasarannya untuk membantu mereka yang kehilangan harta-benda dalam bencana banjir tahun ini.

Selain daripada orang-orang ini, saya percaya kerajaan Malaysia sia-sia sahaja untuk cuba mendapat derma walau seringgit dua daripada rakyat biasa. – 27 Disember, 2021.

* Stephen Ng, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen