KEMATIAN seorang banduan wanita warga Thailand di penjara Kajang pada Oktober lalu, yang didakwa dipukul sekumpulan warden, masih lagi disiasat dan sehingga ini masih belum ada tangkapan dibuat, kata polis.
Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed memberitahu kes disiasat sebagai jenayah bunuh.
“Saya sahkan kes itu memang ada, siasatan masih diteruskan. Kami membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Tiada lagi tangkapan dilakukan berhubung kes berkenaan,” katanya, ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Mangsa difahamkan ditahan di penjara Kajang sementara menunggu perbicaraan kes mengikut Akta Imigresen selepas ditangkap oleh polis Klang Utara pada 21 September.
Sementara itu, sumber daripada sebuah kumpulan aktivis memperjuangkan hak warga asing memberitahu mangsa yang berumur 31 tahun dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Kajang pada 4 Oktober lalu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Kemudiannya, doktor yang memeriksa mangsa mendapati berlakunya pendarahan dalam otak dan mangsa kemudiannya menerima rawatan di hospital yang sama.
“Bagaimanapun, sehari kemudian, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.
Hasil bedah siasat pada 7 Oktober mengesahkan kematian mangsa berpunca daripada pendarahan dalam otak akibat dipukul dengan objek tumpul.
“Satu laporan polis telah dibuat oleh doktor yang merawat mangsa.
“Kami juga difahamkan oleh rakan yang ditahan dalam ruang penjara bersama si mati bahawa mendiang dipukul oleh beberapa warden penjara semasa berada dalam tahanan.
“Kami hanya ingin menggesa pelaku yang mengakibatkan kematian mangsa dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin. Agak kejam untuk memukul wanita seperti ini,” katanya. – 27 Disember, 2021.
Komen