Wanita mesti ditemani keluarga untuk perjalanan jauh, kata Taliban


Menurut panduan yang dikeluarkan Kementerian Penggalakan Kebajikan dan Pencegahan Maksiat, semua pemilik kenderaan hanya boleh menawarkan pengangkutan kepada wanita yang memakai tudung. – Gambar EPA, 26 Disember 2021.

PIHAK berkuasa Taliban di Afghanistan berkata wanita yang ingin melakukan perjalanan selain jarak dekat tidak boleh ditawarkan pengangkutan melainkan mereka ditemani saudara lelaki terdekat.

Menurut panduan yang dikeluarkan Kementerian Penggalakan Kebajikan dan Pencegahan Maksiat itu juga, semua pemilik kenderaan hanya boleh menawarkan pengangkutan kepada wanita yang memakai tudung.

“Wanita yang melakukan perjalanan sejauh lebih 45 batu (72 kilometer) tidak sepatutnya ditawarkan menaiki kenderaan jika mereka tidak ditemani ahli keluarga,” kata jurucakap kementerian Sadeq Akif Muhajir kepada AFP hari ini, dengan menyatakan bahawa ia mestilah saudara lelaki terdekat.

Panduan yang diedarkan di rangkaian media sosial itu hadir beberapa minggu selepas kementerian meminta saluran televisyen Afghanistan menghentikan tayangan drama dan sinetron yang menampilkan pelakon wanita.

Kementerian juga menggesa wartawan TV wanita memakai tudung semasa membuat liputan.

Muhajir berkata, tudung juga diperlukan untuk wanita yang mencari pengangkutan.

Arahan kementerian itu juga meminta orang ramai dilarang memainkan alunan muzik di dalam kenderaan mereka.

Tafsiran Taliban tentang tudung – yang boleh terdiri daripada penutup rambut hingga tudung muka atau penutup seluruh badan – tidak jelas, dan majoriti wanita Afghanistan sudah bertudung.

Sejak mengambil alih kuasa pada Ogos, Taliban telah mengenakan pelbagai sekatan ke atas wanita dan kanak-kanak perempuan, walaupun berikrar akan melaksanakan peraturan lebih lembut berbanding kali pertama mereka berkuasa pada 1990-an.

Di beberapa wilayah, pihak berkuasa Taliban tempatan dirayu untuk membuka semula sekolah – tetapi ramai gadis masih dihalang daripada mengikuti pendidikan menengah.

Awal bulan ini, kumpulan Islam itu mengeluarkan dekri atas nama pemimpin tertinggi mereka supaya mengarahkan kerajaan untuk menguatkuasakan hak wanita.

Dekri itu tidak menyebut akses kanak-kanak perempuan kepada pendidikan. – AFP, 19 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen