Najib sebar ‘berita palsu’ tentang 1MDB, kata Pua


Chan Kok Leong Bede Hong

Pemimpin DAP Tony Pua berkata Perdana Menteri Najib Razak perlu disiasat kerana menyebar berita palsu apabila mendakwa hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion tidak hilang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2018.

INDIVIDU pertama yang patut disiasat kerana menyebarkan “berita palsu” ialah Perdana Menteri Najib Razak kerana mendakwa hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion “tidak lesap”, kata pemimpin DAP Tony Pua.

Semalam, Najib mempertahankan hutang 1Malaysia Development Bhd, berkata wang itu tidak pernah “hilang”, bukan seperti kerugian RM31 bilion yang dialami menerusi skandal urus niaga forex Bank Negara Malaysia (BNM).

Awal minggu ini, Najib mengumumkan kerajaan sedang mempertimbangkan undang-undang baharu untuk membanteras berita palsu, yang dikatakan menjadi ancaman kepada kestabilan politik dan ketenteraman awam.

“Namun, ironinya ialah penyebar terbesar berita palsu hari ini ialah tidak lain tidak bukan perdana menteri sendiri,” kata Pua yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dalam satu kenyataan.

Orang pertama yang sepatutnya disiasat kerana menyebarkan ‘berita palsu’ paling dahsyat dalam negara ini ialah perdana menteri sendiri, yang mendakwa RM42 bilion hutang 1MDB tidak hilang,” katanya.

Pua yang juga setiausaha publisiti nasional DAP berkata dalam skandal BNM, tidak ada sesiapa yang dituduh “mengambil wang itu, tidak juga oleh pemimpin Umno”.

“Namun, dalam kes 1MDB, di mana RM42 bilion atau selebihnya tidak diketahui atau tidak disahkan.

“Malah, jika Najib bercakap benar, soalan yang perlu ditanya ialah mengapa kabinet mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara tentang 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi?,” soal Pua.

Pua mempersoalkan sama ada Najib boleh secara terbuka menyatakan di mana “unit” bernilai AS$940 juta (RM3.65 bilion) diletakkan pada masa ini selepas Bank BSI, ditutup.

Jika semua wang itu dikira secara sempurna dalam 1MDB, Pua bertanya mengapa 1MDB gagal mengeluarkan penyata kewangan beraudit sejak Mac 2014.

Tony Pua mendakwa Perdana Menteri Najib Razak menipu terang-terangan tentang RM42 bilion hutang 1MDB di depan 1,200 penduduk kampung dan imam yang akan menunaikan haji di Mekah menerusi program khas haji perdana menteri, semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2018.

Pua berkata kehilangan dana yang ditonjolkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang membawa kepada Deloitte Malaysia menarik balik sokongan mereka akaun 1MDB bagi Mac 2013 dan 2014.

“Ini bermakna 1MDB tidak mempunyai penyata kewangan beraudit yang sempurna selama enam tahun lalu.

“Ia terlalu ironi bahawa perdana menteri menipu terang-terangan tentang RM42 bilion hutang 1MDB di depan 1,200 penduduk kampung dan imam yang akan menunaikan haji di Mekah,” katanya.

Najib secara konsisten menafikan salah laku susulan pendedahan siasatan DoJ bahawa jejak wang dari 1MDB dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri.

DoJ melaporkan AS$732 juta dipindahkan ke dalam akaun Najib di Ambank antara 2011 dan 2014.

DoJ turut menunjukkan bagaimana sesetengah wang itu digunakan untuk membeli berlian merah jambu untuk isterinya, Rosmah Mansor bernilai AS$27.3 juta dan kapal layar mewah AS$250 juta oleh Jho Low.

Sebanyak AS$238 juta daripada 1MDB juga dimasukkan dalam syarikat anak Rosmah, Riza Aziz iaitu Red Granite Capital di AS.

“Jumlah itu tidak termasuk berbilion dolar aset lain termasuk jet peribadi, hartanah mewah di seluruh dunia dan karya agung yang mahal, di mana semuanya dalam proses untuk disita oleh kerajaan AS,” kata Pua.

“Paling teruk ialah, semua soalan kita berkaitan perkara di atas ditolak oleh speaker Parlimen supaya Najib tidak perlu dipertanggungjawabkan kepada rakyat Malaysia.

“Terlalu jelas ada banyak perkara yang perdana menteri sorokkan,” katanya. – 3 Februari, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kerugian yg dialami sebanyak RM31bilion menerusi skandal urus niaga Forex lebih merugikan semasa pemerintahan tun mahathir, dan ianya telah terbukti melalui laporan prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan